Monday, January 10, 2011

SEPULUH TANDA-TANDA KIAMAT YANG BESAR





Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. berkata: "Datang kepada kami Rasulullah saw. dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu beliau bersabda: "Apa yang kamu perbincangkan?". Kami menjawab: "Kami sedang berbincang tentang hari qiamat". Lalu Nabi saw. bersabda: "Tidak akan terjadi hari qiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya". Kemudian beliau menyebutkannya: "Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam alaihissalam, Ya’juj dan Ma'juj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka".(H.R Muslimi)
Keterangan
Sepuluh tanda-tanda qiamat yang disebutkan Rasulullah saw. dalam hadis ini adalah tanda-tanda qiamat yang besar-besar, akan terjadi di saat hampir tibanya hari qiamat. Sepuluh tanda itu ialah:

  1. Dukhan (asap) yang akan keluar dan mengakibatkan penyakit yang seperti selsema di kalangan orang-orang yang beriman dan akan mematikan semua orang kafir.
  2. Dajjal yang akan membawa fitnah besar yang akan meragut keimanan, hinggakan ramai orang yang akan terpedaya dengan seruannya.
  3. Binatang besar yang keluar berhampiran Bukit Shafa di Mekah yang akan bercakap bahawa manusia tidak beriman lagi kepada Allah swt.
  4. Matahari akan terbit dari tempat tenggelamnya. Maka pada saat itu Allah swt. tidak lagi menerima iman orang kafir dan tidak menerima taubat daripada orang yang berdosa.
  5. Turunnya Nabi Isa alaihissalam ke permukaan bumi ini. Beliau akan mendukung pemerintahan Imam Mahadi yang berdaulat pada masa itu dan beliau akan mematahkan segala salib yang dibuat oleb orang-orang Kristian dan beliau juga yang akan membunuh Dajjal.
  6. Keluarnya bangsa Ya'juj dan Ma'juj yang akan membuat kerosakan dipermukaan bumi ini, iaitu apabila mereka berjaya menghancurkan dinding yang dibuat dari besi bercampur tembaga yang telah didirikan oleh Zul Qarnain bersama dengan pembantu-pembantunya pada zaman dahulu.
  7. Gempa bumi di Timur.
  8. Gempa bumi di Barat.
  9. Gempa bumi di Semenanjung Arab.
  10. Api besar yang akan menghalau manusia menuju ke Padang Mahsyar. Api itu akan bermula dari arah negeri Yaman.

Mengikut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitab Fathul Bari beliau mengatakan: "Apa yang dapat dirajihkan ( pendapat yang terpilih ) dari himpunan hadis-hadis Rasulullah Saw. bahawa keluarnya Dajal adalah yang mendahului segala petanda-petanda besar yang mengakibatkan perubahan besar yang berlaku dipermukaan bumi ini. Keadaan itu akan disudahi dengan kematian Nabi Isa alaihissalam ( setelah belian turun dari langit ). Kemudian terbitnya matahari dari tempat tenggelamnya adalah permulaan tanda-tanda qiamat yang besar yang akan merosakkan sistem alam cakerawala yang mana kejadian ini akan disudahi dengan terjadinya peristiwa qiamat yang dahsyat itu. Barangkali keluarnya binatang yang disebutkan itu adalah terjadi di hari yang matahari pada waktu itu terbit dari tempat tenggelamnya".


Sunday, January 9, 2011

7 Pesanan Nabi Kepada Abu Zar




Nabi Muhammad SAW pernah berpesan kepada sahabatnya bernama Abu Zar.Abu Zar seorang yang bertakwa dan berprinsip tegas.Dia tidak menyukai kekayaan dan hidup sentiasa di dalam kesederhanaan.Tujuh pesanan yang telah disampaikan oleh Baginda Rasulullah SAW itu ialah : -

1) MENGASIHI FAKIR MISKIN DAN MENDAMPINGI MEREKA.

> Berikanlah mereka sedekah dan menjamu makanan.Paling baik sekiranya dilakukan pada bulan Ramadhan yang penuh barakah.Dibulan Ramadhan darjat pahala dilipat gandakan oleh Allah SWT iaitu amalan 'harus' diberikan pahala sunat,amalan sunat diberikan pahala amalan wajib dan amalan yang wajib pula diberikan atau digandakan sehingga tujuh puluh kali gandaan.Namun demikian pada bulan-bulan yang lain juga digalakkan dan punya keistimewaan yang tersendiri.Apa yang penting ialah hulurkanlah sedekah dan sampaikan bantuan kepada fakir miskin dan juga kepada mereka yang memerlukan.

2) JANGAN TENGOK ATAU MELIHAT DI ATAS SAHAJA TETAPI TENGOK DAN BANDINGKAN MEREKA DI BAWAH ( MEREKA YANG KURANG BERNASIB BAIK ).

> Kita harus melihat mereka yang kurang bernasib baik daripada diri kita di dalam menilai sesuatu terutama tentang nikmat kurniaan Allah SWT.Besar kemungkinan kita dalam keadaan yang jauh lebih baik daripada orang-orang yang di bawah kita itu.Dalam erti lain,kita perlulah senantiasa bersyukur dengan apa yang dianugerahkan oleh Allah SWT dan jangan sesekali dengki kepada mereka yang mendapat kelebihan daripada kita.Sama ada mereka itu di lebihkan dari segi kewangan,keluarga,kesihatan,pangkat dan sebagainya.Namun kita juga perlu ingat tentang mereka yang di atas kita yang mempunyai nasib yang lebih baik dari kita.Tidak salah untuk membandingkan dan kita berusaha untuk menyamai orang di atas tetapi harus didalam persaingan yang baik lagi sihat.Iaitu tanpa hasad,dengki dan penyakit hati.

3) MENGERATKAN SILATURRAHIM.

> Seharusnya kita terus menerus menghubungi dan mengeratkan silaturrahim walaupun ada pihak yang mungkin tidak suka dengan usaha itu dan mungkin tidak menyenanginya.Cipta kesempatan untuk memulih,memanjangkan dan mengeratkan silaturrahim.

4) BANYAKKAN MENYEBUT '' lahaula wala quwata i'llabilahil aliyil azim ''.

> Kalimah tersebut mengandungi kalimah tauhid dan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT.Antara lain ia bermaksud ; sesungguhnya kita berlindung kepada Allah SWT daripada sesuatu kecemasan,musibah dan sesuatu yang ghaib atau perkara-perkara yang kurang menyenangkan.Yakni dengan menyebutnya,kita menyatakan penyerahan diri dan kembali kepada Allah SWT.Kalimah ini juga menandakan bahawa kita sememangnya berharap sangat dengan pertolongan Allah SWT.Maka amalkan atau sebutlah kalimah tersebut terutamanya ketika berada didalam kecemasan ataupun gemuruh.

5) BERKATA BENAR WALAUPUN KEBENARAN ITU PAHIT BAGI ORANG-ORANG YANG MENDENGARNYA.

> Elakkan berbohong walau pada sesiapa pun,tidak ada yang terkecuali.Ini kerana sekali berbohong akan menyebabkan kita akan terus dan terus berbohong untuk menutup pembohongan yang pertama tadi.Sesungguhnya Allah SWT amat murka kepada mereka yang suka dengan dan bercakap bohong.

6) TAKUT HANYA KEPADA ALLAH SWT.

> Hendaklah kita takut hanya kepada Allah SWT demi menegakkan kebenaran dan agama ini.Dan jangan pula sesekali takut dengan ancaman manusia dalam menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan.

7) JANGAN MENJADI ORANG YANG MEMINTA-MINTA.

> Rasulullah SAW tidak menyukai orang yang meminta-minta.Dalam erti kata lain kita harus dan hendaklah memelihara maruah diri dan senantiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh terlebih dahulu sebelum meminta pertolongan daripada orang lain.Walaupun meminta pertolongan orang lain atau mengharapkan sedekah,janganlah menjadi orang yang sangat bergantung atau sentiasa meminta-minta kepada sesama manusia.Kecuali meminta-minta kepada Allah SWT,kerana itu adalah sesuatu yang amat digalakkan.
"Tangan yang di atas adalah lebih mulia daripada tangan yang di bawah" dan "Pahala sedekah sebahagian rezeki yang dikurniakan Allah SWT amat jelas dan besar ganjarannya".

Wallahualam......