Saturday, August 4, 2012

Fitrah & Syariat






Dalam hidup kita yang sementara cuma ni, macam-macam dan rasanya terlalu banyak yang telah kita lakukan. Walaupun pada hakikatnya, bukanlah lama sangat kita di dunia ini, tapi banyak perkara yang kita impikan dan hajatkan sebelum kita terus memejamkan mata untuk selamanya. Banyak juga perkara yang kita inginkan itu dapat kita capai, dan tidak kurang juga akan ada orang yang tidak dapat mencapai segala keinginannya.


Sama ada kita perasan atau tidak, atau menyedarinya, itulah hakikat manusia yang ada nafsu. Setelah mendapat sesuatu yang diimpikan, mereka akan mula membina impian baru yang lebih besar.


Apa yang penting bagi kita, manusia dan selaku hamba yang lemah ini ialah, segala yang dilakukan mestilah untuk mencapai redha Allah SWT. Tidak salah membina pelbagai impian, dan mencongak masa depan yang terbaik, tetapi pastikan impian itu tidak bertentangan dengan perintah Allah SWT.


Fitrah kejadian manusia itu mempunyai nafsu. Memang ia fitrah manusia. Tetapi fitrah itu mestilah mengikut apa yang di syariatkan oleh Allah SWT.


Janganlah kita terlalu suka beralasan bahawa bila kita sentiasa melakukan dosa atau mengulangi dosa-dosa kita, kita berkata itu sudah fitrah kejadian manusia. Ingatlah, bila Allah SWT menjadikan nafsu untuk kita, Dia juga membekalkan kita dengan syariatNya sebagai panduan untuk kita menguruskan nafsu kita.
Memang kita tak lepas dari melakukan dosa setiap hari. Tetapi itu bukanlah alasan untuk kita terus melakukan perbuatan yang memang kita tahu ianya suatu dosa dan kita rasa selesa melakukannya kerana ia fitrah manusia.


Kalau itu ada dalam fikiran kita, jelas kita begitu sombong dengan Allah SWT. Sebab apa? Sebab Allah SWT telah meyediakan panduan untuk setiap satu daripada kita megurus dan menjinakkan nafsu kita, untuk kebaikan kita di dunia dan akhirat, tetapi kita tak menggunakannya. Sebaliknya kita sekadar menggunakan fikiran kita, yang sebenarnya sangat lemah jika tidak berlandaskan Al - Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.