Thursday, January 27, 2011

Solat Dhuha


SEMBAHYANG DHUHA : Murahkan rezeki, menolak kepapaan



Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah SAW sendiri ialah sembahyang sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaannya.Antaranya dalam riwayat  Abu Hurairah katanya :-
Maksudnya : ''Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat sembahyang Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan''( Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya : ''Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah ( sebagai ganti ) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat sembahyang Dhuha .''( Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim )
Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : ''Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.''
Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :''Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya aku segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.''(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)
Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata :''Aku mendengar Rasulullah SAW berkata : ''Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas''(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)
Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai sepenggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.
Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud:''Adalah Nabi Sallallahu ‘alaihi  wasallam bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehendakinya.''(Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)
Dalam sebuah hadis yang lain Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda bermaksud : ''Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang tidak lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,'' ( Riwayat At-Thabarani )  


Sunday, January 23, 2011

Kata-Kata Hikmah Imam Al-Ghazali





1. Apakah yang paling dekat dengan diri kita didunia.

Yang paling dekat dengan kita adalah MATI. "Sebab itu janji Allah bahawa yang hidup pasti akan mati" (Surah Ali Imran :185)


2. Apakah yang paling jauh dengan diri kita didunia.


Yang paling jauh dari kita jauh adalah MASA LALU. Walau dengan apa sekalipun kita tak akan dapat kembali kemasa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, esok dan hari-hari mendatang dengan perbuatan yang bersesuaian dengan Agama.


3. Apa yang paling besar didunia ini.


Yang paling besar didunia ini adalah HAWA NAFSU. "Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke Neraka." (Surah Al A'raf: 179)

4. Apakah yang paling berat didunia.

Yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH. "Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung ganang dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah s.n.w meminta mereka menjadi (khalifah) pemimpin didunia ini.Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupinya dan sehingga ramai manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah" (Surah Al-Azab :72).


5. Apakah yang paling ringan didunia.


Yang paling ringan didunia adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita dengan mudah meninggalkan solat.

6. Apakah yang paling tajam didunia.


Yang paling tajam didunia adalah LIDAH. Kerana dengan lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.


70 Kali Sehari



MEMANG tiada siapa pun dapat menduga bila saat kematian mereka akan tiba. Sebab itu ramai yang masih leka dan tiada persediaan ‘menanti’ saat kematian mereka.
Allah berfirman yang bermaksud: “Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali.” (Surah al-Anbiyak ayat 35)

Tahukah kita bahawa malaikat maut sentiasa merenung serta melihat wajah seseorang itu 70 kali dalam sehari? Andainya manusia sedar hakikat itu, nescaya mereka tidak lalai mengingati mati.
Oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak dapat melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan malaikat Izrail.
Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata Izrail:
‘Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa.’”
Justeru, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang masih mampu lagi bergelak sakan dan bersenang-lenang seolah mereka tiada masalah yang perlu difikirkan dalam hidup.
Takdirnya esok hari terakhir Allah ‘pinjamkan’ nyawa kepada kita untuk bernafas di muka bumi ini adakah kita sudah cukup bekalan bagi menghadapi dua fasa berikutnya iaitu alam barzakh dan alam akhirat?
Tiada seorang pun di dunia ini dapat menggambarkan bagaimana perasaan dan pengalaman mereka menghadapi saat kematian.
Ajal tidak mengenal sesiapa sama ada mereka itu tua, muda, sihat, kaya atau miskin.
Rasulullah s.a.w juga menjelaskan dalam hadisnya bahawa kesakitan ketika hampir mati itu seperti ditetak 100 kali dengan pedang tajam atau seperti dikoyak kulitnya dari daging ketika hidup-hidup.
Bayangkanlah betapa sakit dan dahsyatnya saat menghadapi kematian.
Kalau hendak diikutkan siapa yang hendak nyawanya dicabut dalam keadaan yang amat menyeksakan.
Maka amat beruntunglah sesiapa yang matinya dalam keadaan khusnul khatimah (kebajikan).
Salman Al-Farisi meriwayatkan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: “Perhatikanlah tiga perkara kepada orang yang sudah hampir mati itu. Pertama: berpeluh pada pelipis pipinya; kedua: berlinang air matanya dan ketiga: lubang hidungnya kembang kempis.
“Manakala jika ia mengeruh seperti tercekik, air mukanya nampak gelap dan keruh dan mulutnya berbuih, menandakan menandakan azab Allah sedang menimpa dia.”
(Hadis riwayat Abdullah, al-Hakim dan at-Tarmizi)
Kematian ‘menjemput’ manusia secara perlahan-lahan atau beransur-ansur mulai daripada jasad, hujung kaki kemudian ke paha.
Bagi orang kafir pula, apabila nyawanya hendak dicabut Izrail, wajahnya akan menjadi gelap dan keruh dan dia mengeruh seperti binatang yang disembelih.
Itu pula tanda azab yang diterimanya disebabkan dosa dan kekufuran mereka.
Al-Qamah bin Abdullah meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Bahawa roh orang mukmin akan ditarik oleh Izrail dari jasadnya dengan perlahan-lahan dan bersopan sementara roh orang kafir pula akan direntap dengan kasar oleh malaikat maut bagaikan mencabut nyawa seekor khimar.”
Allah juga turut menimpakan seorang Muslim yang berdosa itu dengan kekasaran ketika mereka menghembuskan nafasnya yang terakhir sebagai kaffarah dosanya.
Mungkin ada juga orang kafir yang mati dalam ketenangan mungkin kerana ketika hidupnya dia berbuat kebajikan dan itu adalah balasan terhadapnya kerana setiap kebajikan pasti akan dibalas.
Tetapi kerana tidak beriman, ia tidak menjadi pahala kebajikan dan kekufurannya tetap diazab pada hari akhirat kelak.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya
sehingga sampai ke lutut.
“Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar.
“Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu.”
Malaikat Izrail menjalankan arahan Allah s.w.t dengan sempurna. Dia tidak diutuskan hanya untuk mencabut roh orang sakit saja ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka.
Kematian mungkin berlaku kerana sebab bencana seperti gempa bumi, banjir, kebakaran dan ada juga yang matinya disebabkan kemalangan, diserang penyakit berbahaya seperti kanser, jantung, Aids, denggi dan taun.
Seorang yang sedang sakit tenat, menjadi rahmat yang tinggi nilainya kerana Allah masih memberi peluang supaya mereka sedar akan kesilapan yang mereka lakukan selama hidup di dunia.
Maka waktu itu mereka masih berpeluang bertaubat dari dosa dan kesilapan. Begitu juga halnya dengan orang mati mengejut disebabkan kemalangan.Ia memberi pengajaran dan peringatan kepada mereka yang masih hidup supaya berhati-hati dan tidak lalai berusaha untuk memperbaiki diri.
Justeru, bagi mereka yang masih diberikan nikmat kehidupan perlu sentiasa mengambil iktibar terhadap segala yang berlaku.
Allah menjadikan sebab kematian itu bagi memenuhi janji-Nya kepada malaikat maut.
Saidina Abbas meriwayatkan dalam sebuah hadis antara lain menerangkan malaikat Izrail berasa sedih apabila ditugaskan mencabut roh makhluk bernyawa.
Ini kerana antara makhluk bernyawa itu adalah termasuk manusia yang terdiri daripada kekasih Allah iaitu Rasul, nabi, wali dan orang soleh.
Malaikat maut mengadu kepada Allah betapa dirinya tidak disenangi keturunan Adam a.s.
Dia mungkin dicemuh kerana mencabut roh manusia yang mana menyebabkan orang berduka cita akibat kehilangan orang tersayang dalam hidup mereka.
Justeru, jika seseorang Muslim itu meninggal dunia, beberapa langkah penting perlu dilakukan seperti menempatkan jenazah di tempat yang sesuai sebagai menghormatinya, sunat meletakkan keadaan kakinya menghala ke arah kiblat, tanggalkan pakaian berjahit, tutupkan jenazah dengan sehelai kain nipis ke atas
seluruh jasadnya, rapatkan kedua-dua belah matanya dan mulutnya, letakkan kedua-dua tangan jenazah di atas dadanya sebagaimana dalam keadaan qiam (berdiri) ketika solat, letakkan sesuatu yang sederhana berat di atas perutnya seperti gunting dan pisau serta sunat bagi yang hidup mencium jenazah.
Umat Islam dilarang mengaitkan kematian seorang Muslim itu dengan tanda tertentu.
Itulah yang menyebabkan umat Islam semakin mundur kerana terlalu banyak mempercayai perkara khurafat dan tahyul.
Jika ada kematian seperti kemalangan contohnya kita ditegah untuk bertanya kepada waris apakah perbuatan ganjil yang dilakukan sebelum kematiannya.
Tiada siapa pun dapat mengelak daripada mati melainkan Allah dan kematian tetap akan datang tepat pada masanya.
Apabila sampai ajal seseorang, umat Islam digalakkan memberi nasihat kepada keluarga si mati supaya bertenang dan banyakkan bersabar.
Islam menegah amalan keterlaluan seperti menjerit dan meratapi kematian.
Mereka yang masih hidup peluang perlu dimanfaatkan dengan memperbaiki keadaan diri yang ternyata banyak melakukan kesilapan dan kesalahan.Tiada daya atau usaha yang boleh menyelamatkan kita daripada kematian.

Kematian menjadikan hati manusia menjadi sedih serta berpisah dengan keluarga tercinta. Hanya amalan soleh saja akan membawa kita bertemu Allah.


Saturday, January 22, 2011

Bidadari





Petikan dari satu riwayat ada menerangkan tentang kejadian bidadari. Allah SWT telah menjadikan wajah bidadari dari empat warna iaitu putih, kuning, hijau dan merah. Allah juga menjadikan tubuh mereka dari empat bauan iaitu zafran, misik, kafur dan anbar.

Bermula dari jari-jari kakinya hinggake lutut adalah dari bauan misik. Dari lutut hingga ke payu daranya adalah dari zafran.
Dari payu dara hingga ke lehernya adalah dari anbar. Dari leher hingga ke kepalanya adalah dari kafur.
Andainya seorang dari bidadari itu meludah dengan satu ludahan saja ke bumi nescaya akan misiklah dunia ini.
Pada setiap dada bidadari telah tertulis nama suami mereka masing-masing dan juga dari nama- nama Allah. Pada sebelah tangan mereka tedapat 10 gelang emas dan pada tiap-tiap anak jarinya terdapat 10 bentuk cincin yang dipakaikan oleh Allah untuk mereka.
Demikian juga pada kedua-dua belah kaki mereka terdiri dari 10 perhiasan mutiara dan permata yang bergemerlapan. Dari Ibnu Abbas r.a. Rasulullah besabda,

"Sesungguhnya di syurga nanti terdapat bidadari yang dipanggil Ainna, ia dijadikan dari empat jenis bauan iaitu misik, kafur, anbar dan zafran. Setiap bidadari amat merindui terhadap suami- suami mereka''.

Wednesday, January 19, 2011

Berhati-Hati...






MENCARI REZEKI DARI SUMBER YANG HALAL

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.


Sebagai hamba Allah SWT yang beragama Islam yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, kita diwajibkan bergiat dan berjuang di dalam kehidupan untuk mencari rezeki yang halal bagi keperluan diri, keluarga dan lainnya yang ada di muka bumi ini menurut bakat masing-masing, agar semua rezeki yang kita perolehi itu adalah melalui hasil yang kita usahakan. Allah SWT telah berfirman di dalam Al-Quran dalam Surah Al-Jumu'ah ayat 10 yang tafsirannya :



"Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi untuk menjalankan urusan-urusan masing-masing dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak dalam segala keadaan, supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)."



Seberapa banyak pun rezeki yang kita cari dan perolehi di dunia ini tidaklah menjadi larangan di dalam Islam asalkan jangan sampai mencuaikan perintah Allah SWT dan melanggar larangan-larangan Allah SWT. Rezeki kita itu sebenarnya adalah hak Allah SWT dan Allah Taala Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang sahajalah yang mengurniakan rezeki kepada siapa yang dikehendaki-Nya mengikut aturan yang telah ditetapkan. Oleh itu, seseorang yang mencari rezeki itu hendaklah berniat untuk memelihara agamanya untuk mencukupi dirinya supaya tidak meminta-minta kepada orang lain dan untuk mendapatkan rezeki ahli rumah tangganya kemudian jika ada lebih disedekahkan pula kepada orang-orang yang berhajat.



Semua bidang pekerjaan yang kita ceburi di dunia ini sama ada kita berkhidmat dengan kerajaan mahupun swasta atau sebagai peniaga, petani, nelayan, buruh dan sebagainya hendaknya memastikan bahawa rezeki yang kita dapatkan itu betul-betul halal dan tidak menyimpang dari landasan hukum Islam yang sebenarnya, seperti tidak ada penipuan, penindasan, rampasan, khianat, riba, rasuah dan sebagainya.



Rasulullah SAW telah bersabda dalam sebuah hadis Baginda yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari yang bermaksud :



"Dari Abi Hurairah RadiAllahuanhu telah berkata ia : Rasulullah SAW bersabda akan ada suatu zaman pada umat manusia yang seseorang itu tidak lagi mempedulikan apa yang diambilnya (rezeki yang diterima olehnya) apakah dari yang halal atau dari yang haram."



Setiap rezeki yang kita perolehi dari jalan yang salah ataupun bercampur antara yang halal dengan yang haram akan memberi kesan yang tidak baik, baik pada diri kita sendiri, keluarga, masyarakat mahupun kita dengan Allah SWT.



Ini jelas digambarkan dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :



"Dari Ibnu Umar RadiAllahuanhu katanya: Barang siapa yang membeli pakaian dengan harga sepuluh dirham, satu dirham di antaranya wang yang haram, maka Allah Taala tidak akan menerima solatnya selama pakaian itu masih dipakainya. Kemudian Ibnu Umar memasukkan kedua jarinya ke dalam dua telinganya, lalu berkata: Biarkanlah telinga ini tuli kalau tidak mahu mendengarkan kata-kata dari Rasulullah SAW ini." (Hadis riwayat dari Imam Al-Bukhari).



Dari keterangan hadis yang tersebut tadi dapatlah kita buat kesimpulan bahawa kita wajiblah berhati-hati dalam mencari dan mendapatkan rezeki itu, apalah gunanya kita mempunyai kekayaan di dunia ini tetapi segala ibadat dan amal bakti kita kepada Allah SWT tidak diredai-Nya, disebabkan kita terlalu rakus di dalam mencari harta hingga mencampur-adukkan antara yang hak dan yang batil. Nau'zubillahi Minzalik.



Semasa Sayyidina Abu Bakar RadiAllahuanhu menjadi khalifah pernah terjadi suatu peristiwa terhadap dirinya yang boleh dijadikan iktibar dan panduan kepada kita selaku hamba Allah yang sangat daif ini, iaitu ketika Sayidina Abu Bakar RadiAllahuanhu makan suatu makanan, lalu hambanya memberitahu bahawa makanan yang dimakannya itu adalah hasil yang diterimanya daripada pekerjaannya sebagai tukang tilik, sebelum dia masuk Islam. Lantas Sayidina Abu Bakar RadiAllahuanhu mengeluarkan makanan tersebut seberapa yang boleh hinggakan memuntahkan semua makanan yang ada di dalam perutnya, lalu ditegur, mengapa Sayidina Abu Bakar RadiAllahuanhu sanggup berusaha mengeluarkan makanan tersebut, Sayidina Abu Bakar berkata bahawa dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Badan yang tumbuh subur dengan makanan yang haram pasti akan merasai api Neraka. Oleh kerana itu aku memaksa makanan itu keluar, takut kalau-kalau ia menyuburkan badanku. Begitulah kisahnya tentang Sayidina Abu Bakar yang sangat teliti tentang halal haramnya rezeki yang dimakannya.

Oleh yang demikian wahai kaum Muslimin sekalian selaku pengguna dan juga peniaga dan sebagainya, kita hendaklah berhati-hati dalam mencari rezeki ini, jangan sampai kita tercebur kepada perkara yang haram seperti memakan makanan yang haram ataupun menjual barang-barang yang haram dan diragukan kehalalannya.


Hindarkanlah diri kita dari memakan makanan yang haram itu kerana orang yang memakan makanan yang haram itu api Neraka lebih utama baginya sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :



"Tidak akan memasuki Syurga, daging yang tumbuh daripada yang haram, api Neraka lebih utama baginya." (Riwayat Al-Imam Ahmad).



Firman Allah SWT dalam Surah An-Nahl ayat 114 yang tafsirannya :



"Oleh itu, makanlah wahai orang-orang yang beriman dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik dan bersyukurlah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata."



Monday, January 17, 2011

20 Amalan Murah Rezeki


20 Amalan Murah rezeki









Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat.


Diantaranya :
1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:


"Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu." (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah .a.)




2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w. :
"Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas .a.)




3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:
"… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya." (Riwayat at-Tirmizi)




4. Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:


"(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Ar-ra'd: 28)




5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:
"Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya." (Riwayat Abu Ya'ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)


Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:


"Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya." (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)




6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w. :


"Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu." (Riwayat Bukhari)




7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:
"Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…" (Riwayat Muslim)


8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a'lam.




9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata:
"Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya."




10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.




11. Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda:


"Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya." (Riwayat Bukhari)




12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda:


"Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki." (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)




13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam :


"Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya." (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas .a.)




14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah .




15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi :


"Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya." (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)




16. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman :


"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras." (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: "… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur." (Ali Imran: 145)




17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma'ul husna selain menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.


Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.

Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca "Ya Allah ya Fattah" berulang-ulang, diiringi doa: "Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya 'Alim." Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi'ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a'lam.



18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.




19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)


Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.




20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:


"Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) ." (At-Thalaq: 3)

Nabi s.a.w. bersabda:
"Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang." (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab .a.)



Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri "jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya." (At-Talaq: 2-3)


Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

Monday, January 10, 2011

SEPULUH TANDA-TANDA KIAMAT YANG BESAR





Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. berkata: "Datang kepada kami Rasulullah saw. dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu beliau bersabda: "Apa yang kamu perbincangkan?". Kami menjawab: "Kami sedang berbincang tentang hari qiamat". Lalu Nabi saw. bersabda: "Tidak akan terjadi hari qiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya". Kemudian beliau menyebutkannya: "Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam alaihissalam, Ya’juj dan Ma'juj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka".(H.R Muslimi)
Keterangan
Sepuluh tanda-tanda qiamat yang disebutkan Rasulullah saw. dalam hadis ini adalah tanda-tanda qiamat yang besar-besar, akan terjadi di saat hampir tibanya hari qiamat. Sepuluh tanda itu ialah:

  1. Dukhan (asap) yang akan keluar dan mengakibatkan penyakit yang seperti selsema di kalangan orang-orang yang beriman dan akan mematikan semua orang kafir.
  2. Dajjal yang akan membawa fitnah besar yang akan meragut keimanan, hinggakan ramai orang yang akan terpedaya dengan seruannya.
  3. Binatang besar yang keluar berhampiran Bukit Shafa di Mekah yang akan bercakap bahawa manusia tidak beriman lagi kepada Allah swt.
  4. Matahari akan terbit dari tempat tenggelamnya. Maka pada saat itu Allah swt. tidak lagi menerima iman orang kafir dan tidak menerima taubat daripada orang yang berdosa.
  5. Turunnya Nabi Isa alaihissalam ke permukaan bumi ini. Beliau akan mendukung pemerintahan Imam Mahadi yang berdaulat pada masa itu dan beliau akan mematahkan segala salib yang dibuat oleb orang-orang Kristian dan beliau juga yang akan membunuh Dajjal.
  6. Keluarnya bangsa Ya'juj dan Ma'juj yang akan membuat kerosakan dipermukaan bumi ini, iaitu apabila mereka berjaya menghancurkan dinding yang dibuat dari besi bercampur tembaga yang telah didirikan oleh Zul Qarnain bersama dengan pembantu-pembantunya pada zaman dahulu.
  7. Gempa bumi di Timur.
  8. Gempa bumi di Barat.
  9. Gempa bumi di Semenanjung Arab.
  10. Api besar yang akan menghalau manusia menuju ke Padang Mahsyar. Api itu akan bermula dari arah negeri Yaman.

Mengikut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitab Fathul Bari beliau mengatakan: "Apa yang dapat dirajihkan ( pendapat yang terpilih ) dari himpunan hadis-hadis Rasulullah Saw. bahawa keluarnya Dajal adalah yang mendahului segala petanda-petanda besar yang mengakibatkan perubahan besar yang berlaku dipermukaan bumi ini. Keadaan itu akan disudahi dengan kematian Nabi Isa alaihissalam ( setelah belian turun dari langit ). Kemudian terbitnya matahari dari tempat tenggelamnya adalah permulaan tanda-tanda qiamat yang besar yang akan merosakkan sistem alam cakerawala yang mana kejadian ini akan disudahi dengan terjadinya peristiwa qiamat yang dahsyat itu. Barangkali keluarnya binatang yang disebutkan itu adalah terjadi di hari yang matahari pada waktu itu terbit dari tempat tenggelamnya".


Sunday, January 9, 2011

7 Pesanan Nabi Kepada Abu Zar




Nabi Muhammad SAW pernah berpesan kepada sahabatnya bernama Abu Zar.Abu Zar seorang yang bertakwa dan berprinsip tegas.Dia tidak menyukai kekayaan dan hidup sentiasa di dalam kesederhanaan.Tujuh pesanan yang telah disampaikan oleh Baginda Rasulullah SAW itu ialah : -

1) MENGASIHI FAKIR MISKIN DAN MENDAMPINGI MEREKA.

> Berikanlah mereka sedekah dan menjamu makanan.Paling baik sekiranya dilakukan pada bulan Ramadhan yang penuh barakah.Dibulan Ramadhan darjat pahala dilipat gandakan oleh Allah SWT iaitu amalan 'harus' diberikan pahala sunat,amalan sunat diberikan pahala amalan wajib dan amalan yang wajib pula diberikan atau digandakan sehingga tujuh puluh kali gandaan.Namun demikian pada bulan-bulan yang lain juga digalakkan dan punya keistimewaan yang tersendiri.Apa yang penting ialah hulurkanlah sedekah dan sampaikan bantuan kepada fakir miskin dan juga kepada mereka yang memerlukan.

2) JANGAN TENGOK ATAU MELIHAT DI ATAS SAHAJA TETAPI TENGOK DAN BANDINGKAN MEREKA DI BAWAH ( MEREKA YANG KURANG BERNASIB BAIK ).

> Kita harus melihat mereka yang kurang bernasib baik daripada diri kita di dalam menilai sesuatu terutama tentang nikmat kurniaan Allah SWT.Besar kemungkinan kita dalam keadaan yang jauh lebih baik daripada orang-orang yang di bawah kita itu.Dalam erti lain,kita perlulah senantiasa bersyukur dengan apa yang dianugerahkan oleh Allah SWT dan jangan sesekali dengki kepada mereka yang mendapat kelebihan daripada kita.Sama ada mereka itu di lebihkan dari segi kewangan,keluarga,kesihatan,pangkat dan sebagainya.Namun kita juga perlu ingat tentang mereka yang di atas kita yang mempunyai nasib yang lebih baik dari kita.Tidak salah untuk membandingkan dan kita berusaha untuk menyamai orang di atas tetapi harus didalam persaingan yang baik lagi sihat.Iaitu tanpa hasad,dengki dan penyakit hati.

3) MENGERATKAN SILATURRAHIM.

> Seharusnya kita terus menerus menghubungi dan mengeratkan silaturrahim walaupun ada pihak yang mungkin tidak suka dengan usaha itu dan mungkin tidak menyenanginya.Cipta kesempatan untuk memulih,memanjangkan dan mengeratkan silaturrahim.

4) BANYAKKAN MENYEBUT '' lahaula wala quwata i'llabilahil aliyil azim ''.

> Kalimah tersebut mengandungi kalimah tauhid dan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT.Antara lain ia bermaksud ; sesungguhnya kita berlindung kepada Allah SWT daripada sesuatu kecemasan,musibah dan sesuatu yang ghaib atau perkara-perkara yang kurang menyenangkan.Yakni dengan menyebutnya,kita menyatakan penyerahan diri dan kembali kepada Allah SWT.Kalimah ini juga menandakan bahawa kita sememangnya berharap sangat dengan pertolongan Allah SWT.Maka amalkan atau sebutlah kalimah tersebut terutamanya ketika berada didalam kecemasan ataupun gemuruh.

5) BERKATA BENAR WALAUPUN KEBENARAN ITU PAHIT BAGI ORANG-ORANG YANG MENDENGARNYA.

> Elakkan berbohong walau pada sesiapa pun,tidak ada yang terkecuali.Ini kerana sekali berbohong akan menyebabkan kita akan terus dan terus berbohong untuk menutup pembohongan yang pertama tadi.Sesungguhnya Allah SWT amat murka kepada mereka yang suka dengan dan bercakap bohong.

6) TAKUT HANYA KEPADA ALLAH SWT.

> Hendaklah kita takut hanya kepada Allah SWT demi menegakkan kebenaran dan agama ini.Dan jangan pula sesekali takut dengan ancaman manusia dalam menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan.

7) JANGAN MENJADI ORANG YANG MEMINTA-MINTA.

> Rasulullah SAW tidak menyukai orang yang meminta-minta.Dalam erti kata lain kita harus dan hendaklah memelihara maruah diri dan senantiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh terlebih dahulu sebelum meminta pertolongan daripada orang lain.Walaupun meminta pertolongan orang lain atau mengharapkan sedekah,janganlah menjadi orang yang sangat bergantung atau sentiasa meminta-minta kepada sesama manusia.Kecuali meminta-minta kepada Allah SWT,kerana itu adalah sesuatu yang amat digalakkan.
"Tangan yang di atas adalah lebih mulia daripada tangan yang di bawah" dan "Pahala sedekah sebahagian rezeki yang dikurniakan Allah SWT amat jelas dan besar ganjarannya".

Wallahualam......