Dan…aku menulis lagi, beberapa tahun telah berlalu, namun diari pertama masih aku miliki. Seperti hari-hari sebelum yang telah di janji, segalanya yang telah aku tempuhi adalah sebuah takdir dari Ilahi yang tidak mungkin dapat aku menafikan dan mengubahnya lagi.
Andai esok tidak lagi aku milki, aku andaikan hari ini aku dapat berkongsi. Mungkinkah ini cara seorang penari memulakan tari, mungkinkan juga cara seorang pelukis mengabadikan rasanya yang hadir dalam mimpi, atau juga permulaan seorang penulis mencipta sesuatu yang bakal terkesan untuk hati.
Dengan lafaz Bismillah hirrahman nirrahim,
aku mulakan satu perjalanan, pengisian yang bakal dipenuhi dengan baris-baris
ayat yang dipinjamkan Tuhan. Semalam yang telah berlalu memberikan seribu satu
kesan dalam siapa aku hari ini. Semalam juga telah berlalu dengan kehendak dan
izinNya. Walaupun seringkali perancangan aku tersasar dari kemahuan, dan
seringkali juga aku tergelincir dari landasan. Aku yang telah hidup dengan tekad dan kesempurnaan yang di pinjamkan, senantiasa mencongak yang
terbaik. Semalam hari-hariku kotor dengan dosa-dosa yang tak terkira banyaknya,
semalam juga telah aku nodai perjalanan sebuah kehidupan dengan hitam yang
masih terlekat dan tak terpisahkan. Semalam yang berlalu, aku telah lupakan
untuk apa, dan siapa hidup dan matiku, untuk apa akan kehadiranku, dan apa pula
balasanku tanda syukur aku pada penciptaku.
Sedikit masa di ambil...
Sehelai demi sehelai,
aku selak lembaran yang telah aku catatkan, dan sedikit demi sedikit, lembaran
tadi semakin cacat pada penglihatan. Setiap helai, tercatat ayat-ayat ceritera
sebenar dalam mengisi waktu yang telah dipinjamkan. Diari seorang lelaki yang
tak pernah punya ayat-ayat manis pelindung diri. Manis atau pahit, suka dan
duka, serta sejuta satu rasa tersusun rapi dalam setiap helaiannya.
Terbiasa dengan penolakan, penghinaan,
kesunyian dan kegagalan, hari ini mengajar aku untuk teguhkan dan menetapkan
pendirian. Wahai hati yang seringkali di buai gelombang duniawi, buka seluasnya
minda yang mati… kau harus berpijak nyata dengan kudrat dan baki masa yang
dipinjamkan, berdirilah dengan peringatan dan peringatkan diri yang semua akan
diperhitungkan dan di mainkan semula nanti, bercakap hanya dengan kata-kata
baik yang kau nafikan walau dunia sering tidak menyebelahi, bertindak dan
lakukan sesuatu dengan akalmu yang sebaik-baik ciptaan telah diciptakan Ilahi.
Wahai
hati, tak mengapalah, walau nasib dan mimpi semalam tak berpihak padamu, itulah
aturanNya, dan itu sebaik-baiknya untuk dirimu. Perhati dan amati segenap inci
yang diciptakan untukmu... tidak sedikit pun kurangnya daripada yang lain, apa
perlu kau mendambakan sesuatu yang mustahil.
Walaupun esok kau masih akan tergelincir, tabahlah
dan bersabarlah… kerna itu mungkin satu ujian memantapkan peribadi dan satu pengajaran mendidik hati. Belajarlah dalam
mentafsir erti sebuah mimpi yang telah kau lalui. Semalam penuh dengan sisi
hitam, tak mungkin esok masih hendak engkau ulangi. Cukuplah... takutlah... kerna pengakhiranmu
esok ada dua tempat yang menanti. Takutkan akan NerakaNya dan takutlah andai
engkau tidak layak untuk SyurgaNya yang dijanji.
Wahai hati, ikhlaskan setiap apa yang telah
kau lalui, redhakan setiap perkara yang telah menimpa sepanjang perjalanan yang
telah kau tempuhi. Dari situ... mata terpejam kembali celik dan kau akan kecapi
sedikit demi sedikit bahagia dan kegembiraan dalam dan terjauh di sudut hati. Lepaskan
segala luka dan dendam yang pernah bersarang dalam hati yang terlekat seolah
tak mahu pergi. Leraikan rasa benci yang tertanam terdalam di sanubari. Buangkan
sejauhnya amarahmu yang dulu merajai, sehingga kau terpaksa melepaskan sesuatu
yang terbaik dalam sebuah memori.
Dalam setiap sujud, aku panjangkan sebaris
doa, aku dampakan sentuhan dari kelembutanNya, aku mohon bimbingan dan kekuatan
dariNya, aku harap kembaliku diterima olehNya, aku pinta di pimpin aku dengan
hidayahNya, dan ampunkan aku yang dulu tebal dengan dosa serta sering
melupakanNya, yang dulu terkejar-kejar akan dunia yang sementara cuma, yang dulu
hina mengharap belas sesama manusia. Tetapkan dan permudahkan segala yang telah
direncana.
Hari ini dalam belas rahmat dan kurniaanNya,
aku susun kata-kata yang dipinjamkan untuk esok yang lebih baik, untuk perbaiki
semalam yang tercalit, untuk perindahkan esok yang mungkin berbaki sedikit,
untuk menjernihkan semalam yang keruh terpalit, untuk memutihkan hitam semalam
dan sedaya mungkin untuk bangkit. Mencari sekeping hati, yang dulu terkunci, memberi
inspirasi baru pada sekeping hati yang kelmarin telah mati. Tetaplah dengan
kenyataan dan perjalanan yang dijanjikan.
Andai semalam kau masih belum faham,
hari ini kefahaman itu telah pun meresapi. Mulakan merangkak andai belum kuat
kau melangkah, semat dan kuatkan janji sebelum kau mampu berlari. Memberi bukan
untuk menerima, berjuang bukan kerana nama.
No comments:
Post a Comment