Sunday, January 9, 2011

7 Pesanan Nabi Kepada Abu Zar




Nabi Muhammad SAW pernah berpesan kepada sahabatnya bernama Abu Zar.Abu Zar seorang yang bertakwa dan berprinsip tegas.Dia tidak menyukai kekayaan dan hidup sentiasa di dalam kesederhanaan.Tujuh pesanan yang telah disampaikan oleh Baginda Rasulullah SAW itu ialah : -

1) MENGASIHI FAKIR MISKIN DAN MENDAMPINGI MEREKA.

> Berikanlah mereka sedekah dan menjamu makanan.Paling baik sekiranya dilakukan pada bulan Ramadhan yang penuh barakah.Dibulan Ramadhan darjat pahala dilipat gandakan oleh Allah SWT iaitu amalan 'harus' diberikan pahala sunat,amalan sunat diberikan pahala amalan wajib dan amalan yang wajib pula diberikan atau digandakan sehingga tujuh puluh kali gandaan.Namun demikian pada bulan-bulan yang lain juga digalakkan dan punya keistimewaan yang tersendiri.Apa yang penting ialah hulurkanlah sedekah dan sampaikan bantuan kepada fakir miskin dan juga kepada mereka yang memerlukan.

2) JANGAN TENGOK ATAU MELIHAT DI ATAS SAHAJA TETAPI TENGOK DAN BANDINGKAN MEREKA DI BAWAH ( MEREKA YANG KURANG BERNASIB BAIK ).

> Kita harus melihat mereka yang kurang bernasib baik daripada diri kita di dalam menilai sesuatu terutama tentang nikmat kurniaan Allah SWT.Besar kemungkinan kita dalam keadaan yang jauh lebih baik daripada orang-orang yang di bawah kita itu.Dalam erti lain,kita perlulah senantiasa bersyukur dengan apa yang dianugerahkan oleh Allah SWT dan jangan sesekali dengki kepada mereka yang mendapat kelebihan daripada kita.Sama ada mereka itu di lebihkan dari segi kewangan,keluarga,kesihatan,pangkat dan sebagainya.Namun kita juga perlu ingat tentang mereka yang di atas kita yang mempunyai nasib yang lebih baik dari kita.Tidak salah untuk membandingkan dan kita berusaha untuk menyamai orang di atas tetapi harus didalam persaingan yang baik lagi sihat.Iaitu tanpa hasad,dengki dan penyakit hati.

3) MENGERATKAN SILATURRAHIM.

> Seharusnya kita terus menerus menghubungi dan mengeratkan silaturrahim walaupun ada pihak yang mungkin tidak suka dengan usaha itu dan mungkin tidak menyenanginya.Cipta kesempatan untuk memulih,memanjangkan dan mengeratkan silaturrahim.

4) BANYAKKAN MENYEBUT '' lahaula wala quwata i'llabilahil aliyil azim ''.

> Kalimah tersebut mengandungi kalimah tauhid dan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT.Antara lain ia bermaksud ; sesungguhnya kita berlindung kepada Allah SWT daripada sesuatu kecemasan,musibah dan sesuatu yang ghaib atau perkara-perkara yang kurang menyenangkan.Yakni dengan menyebutnya,kita menyatakan penyerahan diri dan kembali kepada Allah SWT.Kalimah ini juga menandakan bahawa kita sememangnya berharap sangat dengan pertolongan Allah SWT.Maka amalkan atau sebutlah kalimah tersebut terutamanya ketika berada didalam kecemasan ataupun gemuruh.

5) BERKATA BENAR WALAUPUN KEBENARAN ITU PAHIT BAGI ORANG-ORANG YANG MENDENGARNYA.

> Elakkan berbohong walau pada sesiapa pun,tidak ada yang terkecuali.Ini kerana sekali berbohong akan menyebabkan kita akan terus dan terus berbohong untuk menutup pembohongan yang pertama tadi.Sesungguhnya Allah SWT amat murka kepada mereka yang suka dengan dan bercakap bohong.

6) TAKUT HANYA KEPADA ALLAH SWT.

> Hendaklah kita takut hanya kepada Allah SWT demi menegakkan kebenaran dan agama ini.Dan jangan pula sesekali takut dengan ancaman manusia dalam menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan.

7) JANGAN MENJADI ORANG YANG MEMINTA-MINTA.

> Rasulullah SAW tidak menyukai orang yang meminta-minta.Dalam erti kata lain kita harus dan hendaklah memelihara maruah diri dan senantiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh terlebih dahulu sebelum meminta pertolongan daripada orang lain.Walaupun meminta pertolongan orang lain atau mengharapkan sedekah,janganlah menjadi orang yang sangat bergantung atau sentiasa meminta-minta kepada sesama manusia.Kecuali meminta-minta kepada Allah SWT,kerana itu adalah sesuatu yang amat digalakkan.
"Tangan yang di atas adalah lebih mulia daripada tangan yang di bawah" dan "Pahala sedekah sebahagian rezeki yang dikurniakan Allah SWT amat jelas dan besar ganjarannya".

Wallahualam......

No comments:

Post a Comment