Thursday, November 29, 2012

SEBAHAGIAN DOA NABI MUHAMMAD SAW



Di antara waktu-waktu mustajabnya doa.
- Setiap sujud di dalam setiap waktu solat

Nabi Muhammad SAW menyuruh kita memanjangkan sujud kita andai kita mempunyai sebarang doa, dan baginda tidak pernah mengkhususkan sujud mana yang perlu dipanjangkan sama ada sujud di rakaat pertama, kedua, ketiga, atau keempat. Maka, kita boleh memanjangkan mana-mana sujud untuk meluangkan masa berdoa kepada Allah SWT. Adapun jikalau doa yang ingin dibacakan semasa sujud ini adalah di dalam bahasa selain bahasa Arab, maka hendaklah dibacakan di dalam hati, kerana selain bahasa Arab akan membatalkan solat. Itu merupakan kata-kata para ulama' fekah termasuk As-Syafi'e rahimahullah.



Sabdanya Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
"Keadaan yang paling hampir antara seorang hamba dengan Tuhannya ialah sewaktu dia sujud. Maka perbanyakkan doa pada waktu itu."


SEBAHAGIAN DOA BAGINDA RASULULLAH SAW.


Ya Allah, Perbaikilah agamaku dan baguskanlah ia, kerana itu merupakan penjagaan perkara dan persoalanku, dan perbaikilah keduniaanku yang mana itu adalah letak kehidupan; Demikian jua baguskanlah akhiratku, kerana ke situlah tempatku akan kembali nanti, jadikanlah penghidupan ini sebagai tambahan untukku dalam semua kebaikan, dan jadikanlah kematian itu sebagai pelepas untukku dari semua kejahatan.

Ya Allah, Ampunilah akan kesalahan-kesalahanku dan kebodohanku dan keterlanjuran perbuatanku, dan apa yang Engkau ketahui lebih daripada yang aku ketahui.

Ya Allah, ampunilah segala kesalahanku baik yang disengajakan mahupun secara olok-olok, semua itu sememangnya ada padaku.

Ya Allah, ampunilah kesalahan-kesalahan yang telah aku lakukan dan yang hendak aku lakukan kelak, dan apa yang aku perbuat dengan terang-terangan atau kurahsiakan, dan segala yang Engkau lebih mengetahui daripadaku. Sesungguhnya, Engkau yang mendahulukan dan Engkau pula yang mengakhirkan, sesungguhnya Engkau Maha berkuasa ke atas segala sesuatu.

Ya Allah, aku berlindung padaMu daripada kesusahan dan kedukaan, juga aku mohon perlindunganMu dari kelemahan dan kemalasan, dan dari sifat kedekut dan kelemahan badan serta usia lanjut(nyanyuk) dan juga seksa kubur.

Ya Allah, jadikanlah hatiku bertaqwa kepadaMu, dan Engkau sucikanlah ia, sesungguhnya Engkau sebaik-baik yang menyucikan dan Engkaulah pelindung yang mengurusnya.

Ya Allah, aku berlindung padaMu dari ilmu yang tidak bermanfaat dan hati yang tiada khusuk, dan dari hawa nafsu yang tiada pernah puas dan dari doa yang tiada dimakbulkan.

Ya Allah, aku berlindung padaMu dari perangai-perangai buruk, amal-amal serta hawa nafsu yang buruk.

Ya Allah, berilah aku ilham sebagai petunjuk bagiku dan lindungilah aku dari kejahatan diriku sendiri.

Ya Allah, cukupkanlah segala sesuatu yang halal, daripada sesuatu yang telah Engkau haramkan, juga kayakanlah diriku dengan pemberian dan keutamaan daripadaMu terhadap selainMu.

Ya Allah, aku mohon padaMu agar aku mempunyai rasa cinta padaMu Ya Allah, dan mencintai orang yang mencintaiMu, dan mencintai amal perbuatan yang dapat menyampaikan cintaku padaMu.

Ya Allah, jadikanlah rasa cintaku padaMu lebih aku sukai daripada cintaku pada diriku dan keluargaku, bahkan air sejuk yang nikmat.

Ya Allah, aku mohon padaMu akan petunjuk, rasa taqwa, keampunan serta rasa kaya diri.

Ya Allah, Engkaulah Zat Yang Maha Hidup lagi berdiri sendiri, dengan RahmatMu Ya Allah, aku mohon pertolongan, perbaikilah segala persoalanku, dan jangan hendaknya Engkau serahkan diriku dan segala sesuatu kepada diriku sendiri.

Ya Allah, aku mohon daripadaMu redha setelah takdirMu, dan daku mohon daripadaMu kesejukan hidup setelah kematian, dan aku mohon setelah kelazatan akan memandang wajahMu, dan kerinduan untuk menjumpaiMu tanpa gangguan yang mengganggu dan tanpa fitnah yang menyesatkan.

Ya Allah, aku berlindung kepadaMu daripada aku berbuat zalim, atau dizalimi, atau aku mengganggu orang atau aku diganggu, atau aku berbuat dosa yang tidak terampun olehMu Ya Allah.

Ya Allah, berilah akan aku petunjuk untuk melakukan amal yang baik, dan perangai yang baik, sesungguhnya tiada yang dapat memberi petunjuk kepada perangai yang baik kecuali Engkau Ya Allah, dan lindungilah akan diriku dari amal-amal yang buruk dan budi-pekerti yang jahat, sesungguhnya tiada yang dapat melindungiku selain Engkau.




No comments:

Post a Comment