Saturday, May 5, 2012

Bercakap dengan Allah Melalui Sembahyang dan Al-Quran




Orang yang membaca Al Qur’an keadannya adalah sama seperti dia sedang berkata-kata dengan Allah sebagaimana hadith Nabi yang bermaksud " Sesiapa yang ingin bercakap-cakap dengan Allah maka hendaklah membaca Al Qur’an ".


Selain itu jika kita hendak bercakap dengan Allah SWT, kita boleh melakukan solat kerana sembahyang adalah hubungan dengan Tuhan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : " Sesungguhnya orang sedang sembahyang sedang munajat kepada Tuhannya ….. ( diriwayatkan oleh Imam Ahmad ).

Sembahyang itu seperti berkata-kata dengan Allah, maka berhati-hatilah dalam percakapan dengan Allah agar apa yang dicakap itu sama dengan apa yang difikir atau diingati. Hendaklah " hadir hati " iaitu ingat kepada Allah semasa sembahyang. Dalam sembahyang kita wajib mengingati Allah, kalau terlalai cepat-cepat ingatkan Allah.

Ta-Ha [14] Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.

Berkata seorang ulama bernama al-Hakim : " Jika kamu ingin Allah SWT " bercakap " denganmu, bacalah Al-Quran kerana Al-Quran ialah ayat-ayat Allah yang ditujukan kepadamu. Tetapi jika kamu pula ingin bercakap dengan Allah SWT, maka dirikanlah solat kerana solat hakikatnya ialah doa, pengaduan,pujian dan rintihan seorang hamba kepada Allah SWT ".

Rasulullah SAW apabila ada masalah akan melakukan solat sunat dan ini sangat baik dijadikan contoh bagi umat Islam sebagai amalan penyejuk hati. Solat merupakan penyejuk hati Rasulullah SAW. Ketika Rasulullah SAW dilanda masalah, baginda menyuruh Bilal melakukan iqamah untuk didirikan solat. Baginda bersabda kepada Bilal bin Rabah r.a. : " Wahai Bilal, aku dapat merasa tenang dengan solat." ( al-Hadith )




Bila kita membaca Al-Quran, sebenarnya Allah sedang bercakap dengan kita. Allah menjawab bacaan kita.

Dalam Surah Al-Fatihah, dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim...
"….. apabila hamba itu berkata , ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ (٢) Allah menjawab `hamba-Ku memuji akan daku’; apabila hamba itu berkata ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ (٣) Allah menjawab `hamba-Ku memberi sanjungan kepadaKu’; apabila hamba itu berkata مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ (٤) , Allah menjawab hamba-Ku telah mengagungkan aku dan firmanNya lagi, hambaKu telah menyerahkan kepada-Ku, apabila hamba itu berkata إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ (٥) , Allah menjawab ‘Ini di antara hamba-Ku dengan-Ku, untuk hamba-Ku apa sahaja yang dipohonkannya kepada-Ku, apabila hamba itu berkata ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٲطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ (٦) صِرَٲطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ (٧) , Allah menjawab ‘ini untuk hamba-Ku, untuk hamba-Ku, apa sahaja yang dipohonkannya kepada-Ku’ ( Hadith Sahih Muslim )

Imam Syafie khatam ( menghabiskan ) bacaan Al-quran dalam dua rakaat sembahyang malamnya, manakala Imam Abu Hanifah pula khatam quran dalam satu rakaat sembahyang malamnya.


No comments:

Post a Comment