Saturday, July 28, 2012

Rasa Berdosa




Rasa berdosa adalah satu perasaan yang positif. Itu tandanya, jiwa kita masih hidup, hati kita masih peka. Mempunyai perasaan bahawa diri ini berdosa apabila melakukan kesalahan, adalah kunci utama untuk bergerak ke arah kebaikan. Menjadi satu masalah apabila kita kehilangan rasa berdosa apabila melakukan kesalahan, kerana pastinya ketiadaan rasa berdosa itu adalah kerana kita memandang kesalahan kita satu perkara yang normal.



Rasa berdosa akan membawa kepada peningkatan diri.
Kita rasa berdosa, lantas kita bergerak mensucikan diri. Kita melakukan kesalahan, segera kita bergerak memperbaikinya. Rasa berdosa menggerakkannya.
Hal ini kerana, rasa berdosa kita seharusnya perlu datang dengan iringan KEFAHAMAN dan KEPERCAYAAN bahawa Allah SWT itu Maha Pengampun, Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang. Tetapi kalau kita rasa berdosa, rasa diri kita ini kotor, tetapi pada masa yang sama kita menutup pintu hati kita daripada keampunan Allah SWT yang luas, maka kita hanya akan bergerak ke lurah kehancuran.



Allah SWT adalah pencipta kita. Yang paling memahami kita adalah Dia. Dia adalah yang paling tahu kadar kemampuan kita. Dia adalah yang paling tahu akan keadaan kita. Allah SWT itu Maha Mengetahui, sebelum Dia menciptakan kita lagi, bahawa manusia ini akan melakukan dosa. Memang Dia menciptakan kita demikian.


" Demi diri manusia dan Yang Menyempurnakan kejadiannya ( dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya ) serta mengilhamkannya ( untuk mengenal ) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa. " Surah Asy-Syams ayat 7-8.


" Katakanlah ( wahai Muhammad ) : " Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri ( dengan perbuatan-perbuatan maksiat ), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. "
Surah Az-Zumar ayat 53.


" Sesungguhnya jika mereka ketika menganiaya dirinya datang kepadamu, lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasul pun memohonkan ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. "
Surah An-Nisa’ ayat 64.


" Dan ( juga ) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? "
Surah Ali Imran ayat 135.


Di dalam hal rasa berdosa sehingga tidak lagi mahu melakukan kebaikan ini, kita tidak boleh lupakan ‘sahabat karib’ manusia yang sentiasa berusaha membawa manusia kepada kecelakaan akhirat. Itulah dia ' Iblis ', ' Syaitan ' dan kuncu-kuncunya.
Mereka ini mempunyai pelbagai taktik. Antaranya, menggunakan rasa positif dalam diri untuk membawa kepada sesuatau yang negatif. Rasa berdosa ini adalah positif. Tetapi syaitan akan membisikkan kepada kita agar berputus asa dengannya.


Dan kita akhirnya berlari pergi daripada Allah SWT, berlari jauh daripada kebaikan, kerana kita merasakan bahawa : " Aku bukan orang baik, aku penuh dengan dosa silamku, aku dah tak boleh diselamatkan, tak ada ruang untuk aku patah balik. "
Sedangkan, Allah sentiasa membuka pintu keampunanNya kepada manusia.






" Syaitan menjanjikan ( menakut-nakuti ) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan ( kikir ); sedang Allah menjanjikan untukmu ampunan daripada-Nya dan karunia. Dan Allah Maha Luas ( karunia-Nya ) lagi Maha Mengetahui. "
Surah Al-Baqarah ayat 268.


Dan setiap orang itu adalah berbeza. Ada segolngan manusia yang keji, dan mereka ini adalah pengkhianat. Pengkhianat kepada rahmat dan kasih sayang Allah SWT yang luas.
Ada yang memang sengaja melakukan dosa, dan bertaubat dalam keadaan " Bila taubat ni, dosa haritu dah terpadam. Jadi, bolehlah buat lagi dosa. Nanti taubatlah semula." Melakukan dosa dengan sengaja, dengan perasaan bahawa dosanya itu tidak mengapa kerana nanti boleh bertaubat. Ini adalah pengkhianatan kepada kasih sayang Allah SWT.


Ini berbeza dengan golongan yang rasa berulang kali melakukan dosanya, dalam keadaan benci kepada dosanya dan bersungguh-sungguh berjuang meninggalkannya. Memang wujud isyarat bahawa Allah SWT menyuruh manusia berulang kali bertaubat. Tanda bahawa manusia ini memang akan melakukan kesalahan berulang-ulang. Namun adalah amat berbeza berulang-ulang melakukan dosa dengan SUKARELA atau secara SENGAJA, tanpa ada usaha-usaha mencegahnya, dengan terulang dosa kerana tertewas dalam perjuangan menentangnya.


Apakah kita menentang dosa kita? Atau kita menerima dengan tangan terbuka? Adakah kita merancang untuk menjauhi dosa, atau kita tidak merancang untuk menjauhinya?


MAKA JANGANLAH BERPUTUS ASA. Bergeraklah ke arah kebaikan.
Maka janganlah berhenti melakukan kebaikan, hanya kerana semata-mata rasa berdosa. Rasa berdosa itu positif. Positif kerana ia memacu kita untuk beramal dengan lebih kuat bagi menebus kesilapan kita. Maka jangan kita negatifkannya dengan merasakan kita terlalu kotor untuk diampunkan. Siapakah kita yang hendak melimitkan kuasa pengampunan Allah SWT kepada kita?


" Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, ( bahawa ) untuk mereka ampunan dan pahala yang besar. "
Surah Al-Maidah ayat 9.


Dan ayat Allah SWT ini jelas menunjukkan bahawa, keampunan itu datang dengan beramal soleh. Rasa berdosa semata-mata tidak akan menyelamatkan kita. Jika benar rasa berdosa, maka sepatutnya kita meninggalkan kejahatan dan melakukan kebaikan.


" Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. "
Surah Al-Baqarah ayat 218.




Wednesday, July 25, 2012

PUJIAN...





Kita ini sebenarnya terlalu lemah sangat . Cuma kita sahaja kadang-kadang rasa kita ini hebat. Lebih-lebih lagi bila kita dipuji oleh orang lain. Lagi ramai orang memuji kita lagi kita rasa hebat.


Tapi hakikat dan sebenarnya bila kita rasa hebat bila kita dipuji orang, itu bukti dan tanda kita terlalu lemah. Kenapa?
Sebab kita memerlukan pujian orang lain untuk rasa hebat. Bila orang tak puji kita pun tak rasa diri kita hebat.


Hakikat sebenarnya kita memang manusia yang lemah. Kekuatan yang kita ada sebenarnya anugerah yang sebenarnya di pinjamkan sementara oleh Allah SWT. Sewaktu kita masih muda Allah SWT pinjamkan kita kekuatan tubuh badan paling maksima. Bila kita semakin tua kekuatan tubuh itu sedikit demi sedikit di tarik balik. Sewaktu kita muda juga Allah SWT pinjamkan kita kesihatan yang optima, ketajaman fikiran, semangat yang membara dan sebagainya. Tapi, semakin umur kita meningkat semua itu akan di tarik balik oleh Allah SWT. Secara sedikit demi sedikit, atau ada juga yang secara tiba-tiba. Itu semua hak Allah SWT. Dia boleh melakukan apa saja kepada sesiapa sahaja mengikut kehendak Nya.


Kalau kita sedar hakikat ini, maka kita tak akan rasa diri kita hebat walau pun kita dipuji orang. Malah kita amat takut di puji orang, kerana bagi kita yang sedar, segala kekuatan dan kelebihan itu datangnya dari Allah SWT. Segala puji-pujian itu hanya milik Allah SWT, Tuhan sekelian alam.


Bukankah itu yang kita ulang-ulangkan setiap kali membaca Al-fatihah? Maka... beristighfarlah segera bila ada orang memuji kita.





Tuesday, July 24, 2012

Lapangkanlah Hatimu Dengan... Taubat







Satu cara untuk mengetahui sejauh mana kita benar-benar beriman ialah dengan mengukur sejauh mana kesan dosa terhadap hati kita? Apakah hati kita akan terasa kesal dan menyesal dengan dosa? Atau kita merasa biasa-biasa sahaja apabila berdosa? Jika terasa menyesal, itu petanda iman masih ada di dalam dada. Sebaliknya, jika dosa tidak memberikan sebarang kesan, malah kita tetap gembira… itu satu petanda buruk. Iman kita amat lemah, " Hati kita sedang sakit ". Boleh jadi sudah menanti masa sahaja untuk melayang.


Apa tanda menyesal? Menyesal bukan menyesal jika kita hanya berasa sedih tanpa berbuat apa-apa. Tetapi menyesal yang sebenarnya apabila kita mula bertindak selaras dengan apa yang kita kesalkan. Kita menyesal dengan dosa? Langkahnya, terus kita tempuhi jalan-jalan taubat dengan memberhentikannya, niat tidak akan mengulanginya lagi dan berbuat baik sebagai 'galang-gantinya' kepada kejahatan yang telah kita lakukan itu.


Mari kita bertanya pada hati masing-masing? Bagaimana kita dengan dosa? Bagaimana kita dengan taubat? Amat malang seandainya Ramadhan 1433 H ini jika kita terlepas lagi peluang untuk diampunkan dosa seperti di Ramadhan 1432 H yang lalu. Sedangkan bulan Ramadhan yang sedang kita lalui ini melimpah ruah dengan keberkatan, keampunan dan janji terlepas daripada api neraka.


Bagi orang yang beriman, peluang sebesar ini sangat dinanti. Sejak bulan Rejab lagi, mereka telah bersedia untuk menyambutnya dengan menyemarakkan ibadah. Mereka sedar akan kelebihan yang dijanjikan Allah SWT dalam bulan Ramadhan.


Pangkat di dunia tidak akan berguna selepas mati, sedangkan pangkat taqwa di sisi Allah SWT bukan sahaja berguna di dunia – dengan jaminan pembelaan, kecukupan rezeki, diberi jalan keluar daripada sebarang masalah dan lain-lain, malah lebih berguna di akhirat nanti – iaitu kehidupan yang hakiki dan abadi.


Rasulullah SAW bersabda : " Malaikat Jibril datang kepadaku dan berkata : " Rugilah ( kecewa ) orang yang bila namamu disebut dia tidak mengucapkan shalawat atasmu ". Aku mengucap : "Amin". " Rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orangtuanya tetapi dia tidak sampai bisa masuk ke syurga ". Aku berkata : "Amin". Jibril berkata lagi : " Rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan, tetapi tidak sampai terampuni dosa-dosanya ". Lalu aku mengucapkan : "Amin". ( HR. Ahmad )


Hati siapa yang tidak tersentuh apabila mendengar hadis di atas? Betapa ruginya nanti kita di akhirat sana. Dosa tidak diampunkan, masuk ke neraka dan jauh daripada rahmat dan pengampunan Allah SWT. Menyesallah dahulu, kerana menyesal kemudian tidak berguna. Jika kita hendak menangis, maka menangislah pada hari ini… kerana menangis di akhirat sudah terlambat dan tidak berguna.
Takutilah akibat dosa yang kita lakukan. Jangan ambil mudah dengan kemurkaan Allah SWT. Kita sering terlupa bencana akibat dosa boleh datang tiba-tiba dan pada bila-bila masa. Adakah kita lupa dengan kaum Aad yang ditimpa bencana tepat ketika mana mereka berarak ria menuju "syurga" ciptaan raja mereka? Apakah kita lupa bagaimana sikap Rasulullah SAW ketika baginda dan para sahabat melalui lokasi tempat kaum Aad dan Tsamud menerima bala? Baginda terlalu terganggu oleh "nostalgia dosa" – hinggakan sejarah mencatatkan bahawa Rasulullah SAW menyuruh para sahabat menundukkan muka dan jangan memandang ke langit ( tanda merendahkan diri ) ketika melalui tempat tersebut.


Rasulullah SAW pernah berdoa memohon agar Allah SWT tidak menurunkan bala bencana ketika gerhana berlaku. Baginda akan sembahyang dengan penuh tawaduk dan baginda berdoa :
"Tuhanku! Tidakkah engkau telah berjanji untuk tidak mengazab mereka ( umat Islam ), dan aku berada bersama mereka. Tidakkah engkau telah berjanji untuk tidak mengazab mereka ( umat Islam ), sedangkan mereka adalah orang yang bertaubat. ( Sulaiman bin al-Ash’ath, Sunan Abi Daud )


Itulah sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, seorang insan yang maksum daripada dosa dan dijamin masuk syurga. Padahal baginda insan yang mulia, para penduduk kota Madinah ialah para sahabat Rasulullah SAW yang terkenal sebagai generasi al-Quran dan kota Madinah itu sendiri adalah kota suci yang penuh rahmat dan keberkatan. Dengan segala kelebihan itupun baginda masih tidak terasa ada jaminan keselamatan daripada bala bencana.


Sinisnya, bagaimana nasib kita yang setiap masa bergelumang dengan kemungkaran dan kemaksiatan, kadang-kadang hidup di tengah kota yang di kelilingi premis dosa? Walau bagaimanapun, bencana alam, penyakit-penyakit kronik, gejala sosial dan lain-lain masalah sebenarnya boleh membawa rahmat jika kita dapat mencungkil ibrahnya yang tersirat. la boleh diumpamakan sebagai racun kepada hati yang derhaka kepada Allah SWT, tetapi penawar kepada hati yang tunduk dan patuh suruhan dan perintah Allah SWT. Kata orang, " What happens 'in' you is more important than what happens 'to' you. "




Untuk memahami yang tersirat dan mencungkil hakikat daripada sesuatu peristiwa, kita perlu menyingkap lembaran sejarah. Bencana alam yang telah menimpa umat nabi-nabi terdahulu kerana kederhakaan dan kedegilan mereka walaupun telah diberi peringatan berkali-kali perlu diamati sedalam-dalamnya. Renungilah hakikat ini : Umat Nabi Nuh a.s yang tunduk kepada hasutan syaitan, yang mana syaitan itu diciptakan daripada api – Allah SWT musnahkan mereka dengan mendatangkan banjir besar. Kaum Saba’ yang juga menyembah api, Allah SWT musnahkan dengan banjir. Apabila api diagung-agungkan selalunya Allah SWT datangkan air sebagai pemusnah.
Hukum ini terus berjalan sepanjang zaman. Apabila berlaku kemungkaran yang bermaharajalela di tengah umat manusia, Allah SWT akan datangkan bala bencana sebagai azab yang memusnahkan mereka. Inilah yang telah berlaku kepada umat Nabi Lut, yang ditelan bumi kerana mengamalkan homoseksual dan lesbian. Kaum Nabi Salleh kerana curang dalam perniagaan. Kaum Aad dan Tsamud yang ditimpa hujan batu kerana kederhakaannya.


" Tentera Allah SWT " ( air, angin, tanah ) dihantar kepada para pendosa yang engkar walaupun telah diberi peringatan berulang kali oleh nabi masing-masing. Sepanjang sejarah, sudah lapan bangsa pada lapan zaman yang telah mendapat akibat buruk daripada Allah SWT kerana mendustakan rasul yang diutus kepada mereka. Kelapan-lapan kaum itu ialah :


Kaum Nabi Nuh.
Ashabul Rass – mendustakan nabi mereka yang bernama Hanzalah. Mereka menyembah berhala.
Kaum Tsamud – kaum Nabi Salleh.
Kaum Aad – kaum Nabi Hud.
Firaun dan pengikutnya.
Kaum Nabi Luth.
Ashabul Aikah – kaum Nabi Syuaib.
Kaum Tubba’.


Untungnya, umat Nabi Muhammad mempunyai banyak kelebihan berkat kasih sayang Allah SWT kepada Nabi-Nya – Muhammad SAW. Bencana tidak berlaku serta-merta kepada umat Nabi Muhammad sepertimana yang menimpa umat nabi-nabi terdahulu. Masih ada penangguhan dan diberi tempoh masa untuk memperbaiki diri. Bencana alam seperti tsunami, gempa bumi, tanah runtuh, banjir, kemarau dan lain-lain ( walaupun sudah hebat dan dahsyat ) tetapi ini berkali-kali ganda lebih ringan berbanding bencana yang menimpa umat-umat terdahulu. Apapun, mesejnya tetap sama – sebagai peringatan dan amaran. Dengarkanlah " bisikan " Allah SWT ini. Jangan sampai kita terpaksa mendengar " jeritan-Nya! " ( bencana yang lebih dahsyat ).


Walau bagaimanapun, ada bencana yang lebih seni dan maknawi sifatnya. Tidak ketara oleh mata, tetapi sangat derita pada hati. Di dunia, dosa dapat membuat hati keras dan buta dari kebenaran. Ia akan menutup pintu hati dari melihat kebenaran dan membuatnya terbalik dalam membuat penilaian. 


Allah berfirman : " kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan, sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan, Kami seksa mereka secara mengejut, maka ketika itu mereka berputus asa. ( Surah al-An’am 6: 44 )


Manakala secara peribadi dosa akan menyebabkan hidup kita menjadi sempit, perasaan menjadi tidak keruan dan fikiran selalu kacau. Ada sahaja yang tidak kena walaupun kekadang kita sudah memiliki kekayaan, kesihatan dan pekerjaan.


Firman Allah SWT : " Dan barang siapa yang berpaling daripada peringatan Ku maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit. " Thaha : 24


Ibnu Khatir menjelaskan keadaan orang yang melakukan dosa dengan katanya : " Di dunia dia tidak akan mendapat ketenteraman dan ketenangan. Hatinya gelisah akibat kesesatannya. Meski pun lahiriahnya nampak begitu senang, mampu memakan apa sahaja makanan yang diingini, mampu tinggal di mana sahaja yang dia kehendaki, namun selama dia belum sampai kepada keyakinan dan petunjuk maka hatinya akan sentiasa gelisah, bingung, ragu dan masih terus ragu. Ini ialah kehidupan yang sempit. "


Hati orang soleh begitu lembut, sensitif, mudah menerima cahaya hidayah dan taufik. Sebaliknya, hati seorang pendosa menjadi gelap, tertutup, berkarat, keras, dan kerananya tidak dapat ditembusi cahaya kebenaran. Kita sering diingatkan bahawa apabila bencana menimpa jangan salahkan sesiapa, tetapi salahkanlah diri sendiri.


Perhatikanlah hari-hari yang kita lalui di Ramadan yang mulia ini, apakah penuh pahala atau sebaliknya. Bagaimana kita di sini ( di dunia ), begitulah kita di sana ( akhirat ) nanti. Siapa yang menyemai angin, pasti terpaksa menuai badai!


ReBlog : Posted Ogos 22, 2011 by khairulaznan



Monday, July 23, 2012

Sedih… ada ketikanya baik





Ada waktu kita sedih. Sedih itu, sedih ini. Sedih dengan pelbagai perkara. Kematian, kemalangan, kehilangan, cacian dan makian, umpatan orang dan sebagainya.


Ada juga yang sedih dengan rupa parasnya, sedih dengan kejadiannya, sedih mengenangkan nasibnya, sedih dengan cara hidupnya.


Tidak kurang juga yang sedih dengan dirinya yang lemah, keimanannya yang rendah, ibadahnya yang sedikit dan sebagainya.


Percayakah anda bahawa orang mukmin tidak akan bersedih lama?
Saya meyakini hal itu. Memanjang-manjangkan kesedihan, bukanlah sebahagian dari ciri seorang mukmin. Hatta Rasulullah SAW sendiri, bersedih hanya seketika. Baik ketika kematian anak-anaknya, mahupun kematian sahabat-sahabat baginda yang tercinta. Bahkan kesedihan itu tidak termuncul saat baginda menderita sakit diseksa, lapar, perang dan sebagainya.


Tetapi sindrom dari kalangan kita adalah, kita suka memanjangkan kesedihan. Perasankah kita, apabila kita memanjang-manjangkan kesedihan, apakah sebenarnya yang telah ‘kita hilangkan’ dalam kehidupan kita?


Allah SWT.
Ya. Seakan-akan Allah itu tidak wujud, dan membiarkan kita.
Seakan-akan Allah itulah Yang Zalim, dan Dialah yang sengaja membuatkan kita bersedih.


Ada waktu, memang manusia akan merasakan kesedihan.
Sedih memang baik. Sekali sekala ia melembutkan hati. Tanda jiwa yang sensitif. Tanda hati yang peka.


Tetapi merendam roh kita ke dalam kesedihan terlalu lama akan mereputkannya. Apakah alasan untuk memanjangkan kesedihan?
Kesedihan tidak akan pernah menjadi penyelesaian kepada sesuatu masalah. Maka perhatikanlah masalah, bergerak menyelesaikannya. Jika masalah itu bukan datang dengan penyelesaian, sebagai contoh: Kematian rakan karib, murabbi tercinta, ibu bapa tersayang dan sebagainya, hendaklah tabah dan melangkahlah memandang apa yang masih ada pada kita.


Sesungguhnya seorang mukmin itu tidak sepatutnya bersedih terlalu lama.
Kerana dia ada Allah di sisinya.
Dan kesedihan bukanlah cara seorang hamba Allah mengabdikan diri kepadaNya.



ReBlog : Posted April 7, 2011 by khairulaznan


Mohonlah Yang Terbaik.





Rasulullah SAW menyemaikan keimanan kepada para sahabat dengan didikan mencintai akhirat. Baginda meletakan akhirat sebagai matlamat dan kecintaan yang didambakan di dalam jiwa para sahabat.
Pernah satu ketika, Rasulullah SAW memberikan satu ungkapan yang menyuntik dan membangkitkan jiwa para sahabat untuk terus menerus mencintai akhirat dan berlumba-lumba untuk memasukinya.


Sabda baginda yang bermaksud :
" Barang siapa yang cita-citanya adalah akhirat, nescaya Allah akan memberikan kekayaan dalam hatinya, mempersatukan wataknya, dan dunia akan datang kepadanya sedang dia tidak menyukainya. "


Baginda menyambung lagi.
" Tetapi barangsiapa yang cita-citanya adalah dunia, nescaya Allah menjadikan kemiskinan di depan matanya, mencerai beraikan wataknya, dan dunia hanya datang kepadanya sesuai dengan yang telah ditentukan untuknya. "


Inilah matlamat, cita-cita, hasrat, keinginan, impian, dan tujuan hidup yang tertinggi yang diletakan standardnya oleh baginda Rasulullah SAW kepada para sahabat RA.
Dan, ianya bukan untuk para sahabat sahaja, tetapi seruan ini untuk kita juga.
Untuk semua umat Nabi Muhammad SAW.
Kerana itu, para sahabat memiliki satu kekuatan dan semangat kemahuan yang sangat tinggi yang melaksanakan amal soleh.
Seorang ustaz dalam sebuah tazkirah yang disampaikan berkata :
" Para sahabat ini, seolah-olah nampak syurga dihadapan mereka. Dan mereka benar-benar tercium bau haruman syurga. Dan inilah motivasi yang tertinggi dalam usaha dakwah dan jihad mereka. "
Rasulullah SAW mendidik kita untuk sentiasa bersemangat dalam berdoa dan memohon sesuatu yang tinggi untuk dimiliki dan dimasuki iaitu, syurga.


Sabda baginda :
" Apabila kamu memohon kepada Allah SWT maka mohonlah syurga Firdaus kepada-Nya, kerana ia adalah rahsia syurga. "


Maknanya apa?
Firdaus adalah tempat terbaik yang ada di syurga.
Tak salah kita memohon kebaikan didunia, harta yang banyak, pangkat yang tinggi dan sebagainya. Tapi semua itu kita akan tinggalkan atau meninggalkan kita. Jadi, jangan lupa mohon syurga firdaus sebab tempat itulah yang kita ingin kekal tinggal di dalamnya selama-selamanya.


ReBlog : Posted Februari 24, 2011 by khairulaznan.




Bila hati kita kotor...





Bila hati kita kotor...
Buat ibadah pun kita malas
Nak bersedekah pun kita culas
Tapi… bermaksiat jadi mudah
Membazir pun kita tak kisah

Bila hati kita kotor
Masjid yang dekat kita rasa jauh
Pesta yang jauh kita heboh-heboh

Bila hati kita kotor.…
Yang baik kita tak nampak
Yang buruk kita utamakan

Bila hati kita kotor.….
Kebenaran kita ketepikan
Nafsu kita jadikan Tuhan

Bila hati kita kotor…
Orang baik kita dengki-dengkikan
Orang jahat kita mulia-muliakan

Bila hati kita kotor….
Pejuang Islam dimaki-maki
Pejuang Melayu dipuji-puji

Bila hati kita kotor.…
Yang Neraka Kita anggap Syurga
Yang Dosa kita fikir Pahala

Bila hati kita kotor.…
bagaimana nak kita bersihkan?
bila nak dibersihkan?

ReBlog : Posted Mac 3, 2011 by khairulaznan


Saturday, July 21, 2012

Terus Mencari





Mencari diri.
Siapakah diri aku yang sebenar ?
Dalam melalui kitar sebuah kehidupan. Aku terus mencari identitiku yang sebenar. Aku ini sepatutnya macam mana ? Siapa yang aku perlu ikuti ? Aku perlu jadi apa ?


Persoalan yang biasa muncul di dalam diri.
Tetapi apakah aku berjaya mencari diri aku yang sebenar, atau aku sekadar berimaginasi akan sesuatu yang bukannya dari diri aku yang sebenar. Maka di sinilah permulaannya akan proses memahami dan mengetahui, bagaimana hendak mencari diri.


Siapakah yang lebih kenal akan diri ini ?
Ayahkah ? Ibukah ? Rakan-rakankah ?


Hakikatnya, walaupun ibu yang mengandungkan kita sendiri, dia tidak juga lebih mengenali diri kita. Tetapi yang mewujudkan aku di dalam rahim ibu, itulah yang amat mengenali diri ini. Ibu tidak mencipta kita. Ibu tidak mewujudkan kita. Bahkan Ibu menangis apabila kita wujud di dalam perutnya. Menangis gembira. Terkejut dan tidak sangka. Kita adalah anugerah. Dan sama sekali bukan Ibu yang mampu mewujudkan kita.


Jadi, yang mewujudkan aku adalah yang amat mengenali aku sebenarnya. Dia yang faham, aku ini patut menjadi apa. Dia yang mengetahui, siapa diri ini yang sebenarnya. Dialah... Allah SWT. Maka, bertanyalah kepada Dia. Maka, langkah pertama dalam mencari diri sendiri adalah dengan kembali kepadaNya. Cuba perhatikan apa yang Dia bicarakan berkenaan diri ini.


Di manakah hendak mencari bicaraNya? Allah telah mempermudahkan manusia, makhlukNya, untuk mencari apa yang dibicarakan olehNya di dalam Al-Quran yang dijaga olehNya.


Apakah sebenarnya diri aku ini, di atas dunia ini apa yang patut aku lakukan.
Seringkali aku mudah tertipu dengan sekeliling yang memperdaya. Sedangkan hakikatnya, aku sendiri tidak mengetahui siapakah mereka yang sebenarnya, dan apakah yang sepatutnya mereka lakukan.
Di sinilah, timbulnya kekacauan dalam kehidupan seorang insan.


Siapakah aku dan adakah aku cukup berani mencari diri, dengan jalan yang akan membawa aku kepada segala penyelesaian kesulitan sebuah kehidupan ?



Tuesday, July 17, 2012

Menoleh semalam untuk hari ini






   Dan…aku menulis lagi, beberapa tahun telah berlalu, namun diari pertama masih aku miliki. Seperti hari-hari sebelum yang telah di janji, segalanya yang telah aku tempuhi adalah sebuah takdir dari Ilahi yang tidak mungkin dapat aku menafikan dan mengubahnya lagi.


   Andai esok tidak lagi aku milki, aku andaikan hari ini aku dapat berkongsi. Mungkinkah ini cara seorang penari memulakan tari, mungkinkan juga cara seorang pelukis mengabadikan rasanya yang hadir dalam mimpi, atau juga permulaan seorang penulis mencipta sesuatu yang bakal terkesan untuk hati.

   Dengan lafaz Bismillah hirrahman nirrahim, aku mulakan satu perjalanan, pengisian yang bakal dipenuhi dengan baris-baris ayat yang dipinjamkan Tuhan. Semalam yang telah berlalu memberikan seribu satu kesan dalam siapa aku hari ini. Semalam juga telah berlalu dengan kehendak dan izinNya. Walaupun seringkali perancangan aku tersasar dari kemahuan, dan seringkali juga aku tergelincir dari landasan. Aku yang telah hidup dengan tekad dan kesempurnaan yang di pinjamkan, senantiasa mencongak yang terbaik. Semalam hari-hariku kotor dengan dosa-dosa yang tak terkira banyaknya, semalam juga telah aku nodai perjalanan sebuah kehidupan dengan hitam yang masih terlekat dan tak terpisahkan. Semalam yang berlalu, aku telah lupakan untuk apa, dan siapa hidup dan matiku, untuk apa akan kehadiranku, dan apa pula balasanku tanda syukur aku pada penciptaku.

   Sedikit masa di ambil...

   Sehelai demi sehelai, aku selak lembaran yang telah aku catatkan, dan sedikit demi sedikit, lembaran tadi semakin cacat pada penglihatan. Setiap helai, tercatat ayat-ayat ceritera sebenar dalam mengisi waktu yang telah dipinjamkan. Diari seorang lelaki yang tak pernah punya ayat-ayat manis pelindung diri. Manis atau pahit, suka dan duka, serta sejuta satu rasa tersusun rapi dalam setiap helaiannya.

   Terbiasa dengan penolakan, penghinaan, kesunyian dan kegagalan, hari ini mengajar aku untuk teguhkan dan menetapkan pendirian. Wahai hati yang seringkali di buai gelombang duniawi, buka seluasnya minda yang mati… kau harus berpijak nyata dengan kudrat dan baki masa yang dipinjamkan, berdirilah dengan peringatan dan peringatkan diri yang semua akan diperhitungkan dan di mainkan semula nanti, bercakap hanya dengan kata-kata baik yang kau nafikan walau dunia sering tidak menyebelahi, bertindak dan lakukan sesuatu dengan akalmu yang sebaik-baik ciptaan telah diciptakan Ilahi.

   Wahai hati, tak mengapalah, walau nasib dan mimpi semalam tak berpihak padamu, itulah aturanNya, dan itu sebaik-baiknya untuk dirimu. Perhati dan amati segenap inci yang diciptakan untukmu...  tidak sedikit pun kurangnya daripada yang lain, apa perlu kau mendambakan sesuatu yang mustahil.


   Walaupun esok kau masih akan tergelincir, tabahlah dan bersabarlah… kerna itu mungkin satu ujian memantapkan peribadi dan satu pengajaran mendidik hati. Belajarlah dalam mentafsir erti sebuah mimpi yang telah kau lalui. Semalam penuh dengan sisi hitam, tak mungkin esok masih hendak engkau ulangi. Cukuplah...  takutlah... kerna pengakhiranmu esok ada dua tempat yang menanti. Takutkan akan NerakaNya dan takutlah andai engkau tidak layak untuk SyurgaNya yang dijanji.

   Wahai hati, ikhlaskan setiap apa yang telah kau lalui, redhakan setiap perkara yang telah menimpa sepanjang perjalanan yang telah kau tempuhi. Dari situ... mata terpejam kembali celik dan kau akan kecapi sedikit demi sedikit bahagia dan kegembiraan dalam dan terjauh di sudut hati. Lepaskan segala luka dan dendam yang pernah bersarang dalam hati yang terlekat seolah tak mahu pergi. Leraikan rasa benci yang tertanam terdalam di sanubari. Buangkan sejauhnya amarahmu yang dulu merajai, sehingga kau terpaksa melepaskan sesuatu yang terbaik dalam sebuah memori.


   Dalam setiap sujud, aku panjangkan sebaris doa, aku dampakan sentuhan dari kelembutanNya, aku mohon bimbingan dan kekuatan dariNya, aku harap kembaliku diterima olehNya, aku pinta di pimpin aku dengan hidayahNya, dan ampunkan aku yang dulu tebal dengan dosa serta sering melupakanNya, yang dulu terkejar-kejar akan dunia yang sementara cuma, yang dulu hina mengharap belas sesama manusia. Tetapkan dan permudahkan segala yang telah direncana.


   Hari ini dalam belas rahmat dan kurniaanNya, aku susun kata-kata yang dipinjamkan untuk esok yang lebih baik, untuk perbaiki semalam yang tercalit, untuk perindahkan esok yang mungkin berbaki sedikit, untuk menjernihkan semalam yang keruh terpalit, untuk memutihkan hitam semalam dan sedaya mungkin untuk bangkit. Mencari sekeping hati, yang dulu terkunci, memberi inspirasi baru pada sekeping hati yang kelmarin telah mati. Tetaplah dengan kenyataan dan perjalanan yang dijanjikan.

   Andai semalam kau masih belum faham, hari ini kefahaman itu telah pun meresapi. Mulakan merangkak andai belum kuat kau melangkah, semat dan kuatkan janji sebelum kau mampu berlari. Memberi bukan untuk menerima, berjuang bukan kerana nama.