Saturday, July 28, 2012
Rasa Berdosa
Rasa berdosa adalah satu perasaan yang positif. Itu tandanya, jiwa kita masih hidup, hati kita masih peka. Mempunyai perasaan bahawa diri ini berdosa apabila melakukan kesalahan, adalah kunci utama untuk bergerak ke arah kebaikan. Menjadi satu masalah apabila kita kehilangan rasa berdosa apabila melakukan kesalahan, kerana pastinya ketiadaan rasa berdosa itu adalah kerana kita memandang kesalahan kita satu perkara yang normal.
Rasa berdosa akan membawa kepada peningkatan diri.
Kita rasa berdosa, lantas kita bergerak mensucikan diri. Kita melakukan kesalahan, segera kita bergerak memperbaikinya. Rasa berdosa menggerakkannya.
Hal ini kerana, rasa berdosa kita seharusnya perlu datang dengan iringan KEFAHAMAN dan KEPERCAYAAN bahawa Allah SWT itu Maha Pengampun, Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang. Tetapi kalau kita rasa berdosa, rasa diri kita ini kotor, tetapi pada masa yang sama kita menutup pintu hati kita daripada keampunan Allah SWT yang luas, maka kita hanya akan bergerak ke lurah kehancuran.
Allah SWT adalah pencipta kita. Yang paling memahami kita adalah Dia. Dia adalah yang paling tahu kadar kemampuan kita. Dia adalah yang paling tahu akan keadaan kita. Allah SWT itu Maha Mengetahui, sebelum Dia menciptakan kita lagi, bahawa manusia ini akan melakukan dosa. Memang Dia menciptakan kita demikian.
" Demi diri manusia dan Yang Menyempurnakan kejadiannya ( dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya ) serta mengilhamkannya ( untuk mengenal ) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa. " Surah Asy-Syams ayat 7-8.
" Katakanlah ( wahai Muhammad ) : " Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri ( dengan perbuatan-perbuatan maksiat ), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. "
Surah Az-Zumar ayat 53.
" Sesungguhnya jika mereka ketika menganiaya dirinya datang kepadamu, lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasul pun memohonkan ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. "
Surah An-Nisa’ ayat 64.
" Dan ( juga ) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? "
Surah Ali Imran ayat 135.
Di dalam hal rasa berdosa sehingga tidak lagi mahu melakukan kebaikan ini, kita tidak boleh lupakan ‘sahabat karib’ manusia yang sentiasa berusaha membawa manusia kepada kecelakaan akhirat. Itulah dia ' Iblis ', ' Syaitan ' dan kuncu-kuncunya.
Mereka ini mempunyai pelbagai taktik. Antaranya, menggunakan rasa positif dalam diri untuk membawa kepada sesuatau yang negatif. Rasa berdosa ini adalah positif. Tetapi syaitan akan membisikkan kepada kita agar berputus asa dengannya.
Dan kita akhirnya berlari pergi daripada Allah SWT, berlari jauh daripada kebaikan, kerana kita merasakan bahawa : " Aku bukan orang baik, aku penuh dengan dosa silamku, aku dah tak boleh diselamatkan, tak ada ruang untuk aku patah balik. "
Sedangkan, Allah sentiasa membuka pintu keampunanNya kepada manusia.
" Syaitan menjanjikan ( menakut-nakuti ) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan ( kikir ); sedang Allah menjanjikan untukmu ampunan daripada-Nya dan karunia. Dan Allah Maha Luas ( karunia-Nya ) lagi Maha Mengetahui. "
Surah Al-Baqarah ayat 268.
Dan setiap orang itu adalah berbeza. Ada segolngan manusia yang keji, dan mereka ini adalah pengkhianat. Pengkhianat kepada rahmat dan kasih sayang Allah SWT yang luas.
Ada yang memang sengaja melakukan dosa, dan bertaubat dalam keadaan " Bila taubat ni, dosa haritu dah terpadam. Jadi, bolehlah buat lagi dosa. Nanti taubatlah semula." Melakukan dosa dengan sengaja, dengan perasaan bahawa dosanya itu tidak mengapa kerana nanti boleh bertaubat. Ini adalah pengkhianatan kepada kasih sayang Allah SWT.
Ini berbeza dengan golongan yang rasa berulang kali melakukan dosanya, dalam keadaan benci kepada dosanya dan bersungguh-sungguh berjuang meninggalkannya. Memang wujud isyarat bahawa Allah SWT menyuruh manusia berulang kali bertaubat. Tanda bahawa manusia ini memang akan melakukan kesalahan berulang-ulang. Namun adalah amat berbeza berulang-ulang melakukan dosa dengan SUKARELA atau secara SENGAJA, tanpa ada usaha-usaha mencegahnya, dengan terulang dosa kerana tertewas dalam perjuangan menentangnya.
Apakah kita menentang dosa kita? Atau kita menerima dengan tangan terbuka? Adakah kita merancang untuk menjauhi dosa, atau kita tidak merancang untuk menjauhinya?
MAKA JANGANLAH BERPUTUS ASA. Bergeraklah ke arah kebaikan.
Maka janganlah berhenti melakukan kebaikan, hanya kerana semata-mata rasa berdosa. Rasa berdosa itu positif. Positif kerana ia memacu kita untuk beramal dengan lebih kuat bagi menebus kesilapan kita. Maka jangan kita negatifkannya dengan merasakan kita terlalu kotor untuk diampunkan. Siapakah kita yang hendak melimitkan kuasa pengampunan Allah SWT kepada kita?
" Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, ( bahawa ) untuk mereka ampunan dan pahala yang besar. "
Surah Al-Maidah ayat 9.
Dan ayat Allah SWT ini jelas menunjukkan bahawa, keampunan itu datang dengan beramal soleh. Rasa berdosa semata-mata tidak akan menyelamatkan kita. Jika benar rasa berdosa, maka sepatutnya kita meninggalkan kejahatan dan melakukan kebaikan.
" Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. "
Surah Al-Baqarah ayat 218.
Labels:
Islamic
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment