Tuesday, July 17, 2012

Menoleh semalam untuk hari ini






   Dan…aku menulis lagi, beberapa tahun telah berlalu, namun diari pertama masih aku miliki. Seperti hari-hari sebelum yang telah di janji, segalanya yang telah aku tempuhi adalah sebuah takdir dari Ilahi yang tidak mungkin dapat aku menafikan dan mengubahnya lagi.


   Andai esok tidak lagi aku milki, aku andaikan hari ini aku dapat berkongsi. Mungkinkah ini cara seorang penari memulakan tari, mungkinkan juga cara seorang pelukis mengabadikan rasanya yang hadir dalam mimpi, atau juga permulaan seorang penulis mencipta sesuatu yang bakal terkesan untuk hati.

   Dengan lafaz Bismillah hirrahman nirrahim, aku mulakan satu perjalanan, pengisian yang bakal dipenuhi dengan baris-baris ayat yang dipinjamkan Tuhan. Semalam yang telah berlalu memberikan seribu satu kesan dalam siapa aku hari ini. Semalam juga telah berlalu dengan kehendak dan izinNya. Walaupun seringkali perancangan aku tersasar dari kemahuan, dan seringkali juga aku tergelincir dari landasan. Aku yang telah hidup dengan tekad dan kesempurnaan yang di pinjamkan, senantiasa mencongak yang terbaik. Semalam hari-hariku kotor dengan dosa-dosa yang tak terkira banyaknya, semalam juga telah aku nodai perjalanan sebuah kehidupan dengan hitam yang masih terlekat dan tak terpisahkan. Semalam yang berlalu, aku telah lupakan untuk apa, dan siapa hidup dan matiku, untuk apa akan kehadiranku, dan apa pula balasanku tanda syukur aku pada penciptaku.

   Sedikit masa di ambil...

   Sehelai demi sehelai, aku selak lembaran yang telah aku catatkan, dan sedikit demi sedikit, lembaran tadi semakin cacat pada penglihatan. Setiap helai, tercatat ayat-ayat ceritera sebenar dalam mengisi waktu yang telah dipinjamkan. Diari seorang lelaki yang tak pernah punya ayat-ayat manis pelindung diri. Manis atau pahit, suka dan duka, serta sejuta satu rasa tersusun rapi dalam setiap helaiannya.

   Terbiasa dengan penolakan, penghinaan, kesunyian dan kegagalan, hari ini mengajar aku untuk teguhkan dan menetapkan pendirian. Wahai hati yang seringkali di buai gelombang duniawi, buka seluasnya minda yang mati… kau harus berpijak nyata dengan kudrat dan baki masa yang dipinjamkan, berdirilah dengan peringatan dan peringatkan diri yang semua akan diperhitungkan dan di mainkan semula nanti, bercakap hanya dengan kata-kata baik yang kau nafikan walau dunia sering tidak menyebelahi, bertindak dan lakukan sesuatu dengan akalmu yang sebaik-baik ciptaan telah diciptakan Ilahi.

   Wahai hati, tak mengapalah, walau nasib dan mimpi semalam tak berpihak padamu, itulah aturanNya, dan itu sebaik-baiknya untuk dirimu. Perhati dan amati segenap inci yang diciptakan untukmu...  tidak sedikit pun kurangnya daripada yang lain, apa perlu kau mendambakan sesuatu yang mustahil.


   Walaupun esok kau masih akan tergelincir, tabahlah dan bersabarlah… kerna itu mungkin satu ujian memantapkan peribadi dan satu pengajaran mendidik hati. Belajarlah dalam mentafsir erti sebuah mimpi yang telah kau lalui. Semalam penuh dengan sisi hitam, tak mungkin esok masih hendak engkau ulangi. Cukuplah...  takutlah... kerna pengakhiranmu esok ada dua tempat yang menanti. Takutkan akan NerakaNya dan takutlah andai engkau tidak layak untuk SyurgaNya yang dijanji.

   Wahai hati, ikhlaskan setiap apa yang telah kau lalui, redhakan setiap perkara yang telah menimpa sepanjang perjalanan yang telah kau tempuhi. Dari situ... mata terpejam kembali celik dan kau akan kecapi sedikit demi sedikit bahagia dan kegembiraan dalam dan terjauh di sudut hati. Lepaskan segala luka dan dendam yang pernah bersarang dalam hati yang terlekat seolah tak mahu pergi. Leraikan rasa benci yang tertanam terdalam di sanubari. Buangkan sejauhnya amarahmu yang dulu merajai, sehingga kau terpaksa melepaskan sesuatu yang terbaik dalam sebuah memori.


   Dalam setiap sujud, aku panjangkan sebaris doa, aku dampakan sentuhan dari kelembutanNya, aku mohon bimbingan dan kekuatan dariNya, aku harap kembaliku diterima olehNya, aku pinta di pimpin aku dengan hidayahNya, dan ampunkan aku yang dulu tebal dengan dosa serta sering melupakanNya, yang dulu terkejar-kejar akan dunia yang sementara cuma, yang dulu hina mengharap belas sesama manusia. Tetapkan dan permudahkan segala yang telah direncana.


   Hari ini dalam belas rahmat dan kurniaanNya, aku susun kata-kata yang dipinjamkan untuk esok yang lebih baik, untuk perbaiki semalam yang tercalit, untuk perindahkan esok yang mungkin berbaki sedikit, untuk menjernihkan semalam yang keruh terpalit, untuk memutihkan hitam semalam dan sedaya mungkin untuk bangkit. Mencari sekeping hati, yang dulu terkunci, memberi inspirasi baru pada sekeping hati yang kelmarin telah mati. Tetaplah dengan kenyataan dan perjalanan yang dijanjikan.

   Andai semalam kau masih belum faham, hari ini kefahaman itu telah pun meresapi. Mulakan merangkak andai belum kuat kau melangkah, semat dan kuatkan janji sebelum kau mampu berlari. Memberi bukan untuk menerima, berjuang bukan kerana nama.



No comments:

Post a Comment