Saturday, December 25, 2010

Doa




Firman Allah SWT yang bermaksud : '' Dan Tuhanmu berfirman : '' Berdoalah kepada-Ku nescaya akan Kuperkenankan bagimu. '' Sesungguhnya orang yang menyombong diri daripada menyembah-Ku akan dimasukkan ke neraka jahanam dalam keadaan hina. ''
( Surah Ghafir 40 : 60 )

Ketika mentafsirkan ayat suci ini,al-Allamah Ibn Kathir telah menukilkan kata-kata Qatadah :
''Ka'bul Ahbar berkata bahawa antara kelebihan umat ini berbanding umat terdahulu ialah nabi terdahulu dikatakan kepada mereka : ''Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku perkenankan kepadamu sekelian.''

Ayat ini bermaksud Allah SWT telah memberi keistimewaan buat umat ini dengan menjanjikan bahawa segala doa yang kita panjatkan pasti diperkenankan oleh-Nya berbanding dengan seruan Allah seperti yang dinyatakan di atas yang hanya tertentu pada nabi-nabi terdahulu sahaja.Syeikh Abul Qasim al-Qushairi telah menyatakan dalam risalah ( Qushairiah ) nya : ''DOA ADALAH KUNCI SEGALA HAJAT,PENGHIBUR ORANG MISKIN,PELINDUNG ORANG KESEMPITAN DAN PEMBERI KETENANGAN BUAT MANUSIA YANG BERKEINGINAN.''Doa merupakan ibadah dan bukti pengakuan terhadap sifat lemah seorang hamba terhadap kekuatan dan kesempurnaan zat-Nya.Bahkan Allah mencintai hamba-hamba-Nya yang sentiasa berdoa dan merintih akan pemberian-Nya.




BILA PULA DOA HENDAK DIKABULKAN ?

''Mengapakah doa kita tidak di makbulkan oleh Allah SWT sedangkan Allah SWT menjanjikan kepada hamba-hamba-Nya bahawa setiap doa yang dibisikkan pasti akan diperkenankan.Bukankah Allah SWT menegaskan Dia tidak akan menyalahi janji-Nya?''
Sering kali persoalan-persoalan ini bemain dalam fikiran,dan apabila seseorang berada di dalam situasi begini,syaitan pasti menambahkan kekeliruan agar ia berkesudahan dengan sikap putus asa .Sedangkan putus asa itu dilarang oleh Allah SWT...Kata-kata Syeikh Ibn Athaillah seperti yang dinyatakan dalam ( al-Hikam ) : Maksudnya : ''Janganlah berputus asa jika Allah SWT melewatkan penerimaan doa  sekalipun kamu sudah bersunguh-sungguh berdoa kerana Allah SWT menjamin penerimaan semua doa menurut yang telah Dia tentukan untukmu bukannya menurut kehendakmu dan ( akan dikabulkan ) pada waktu yang ditentukan oleh-Nya bukan pada waktu yang ditentukan olehmu.

Inilah hakikat doa yang telah pun kita bisikkan.Semuanya adalah menurut kehendak-Nya semata kerana Dia-lah Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik di sisi-Nya buat makhluk yang tidak berdaya ini.Keyakinan dan kesabaran dalam menerima anugerah-Nya adalah sifat yang dituntut dalam membina keyakinan dan bersangka baik pada Allah SWT.Bahkan doa Nabi Musa dan Nabi Harun seperti yang dirakamkan oleh Allah SWT dalam surah Yunus ayat 88 dan 89 yang menginginkan agar Firaun dan tenteranya dibinasakan Allah SWT dikabulkan setelah 40 tahun mereka berterusan dalam keingkaran.
Begitu juga dengan doa Nabi Zakaria yang sentiasa merintih kepada Allah SWT agar dikurniakan zuriat.Al-Quran mengisahkan kepada kita sebagaimana firman-Nya dalam surah Maryam ayat 2 hingga 10 bahawa doa Zakaria itu dikabulkan ketika usianya telah lanjut serta uban memenuhi kepalanya.Subhanallah!Maha Suci Allah yang Maha Mengetahui segala yang terbaik buat hamba-hamba-Nya yang telah memanjatkan doa.Sedangkan Dia pasti akan mengabulkan segala doa itu mengikut keinginan-Nya.Tunduk dan haruslah kita patuh dalam menerima segala kurniann-Nya dan janganlah sekali-kali kita berputus asa.Bukankan Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud :
''Doa seseorang daripada kamu pasti akan diperkenankan selama kamu tidak meminta disegerakan pengabulannya dengan mengatakan, ''Aku sentiasa berdoa kepada Tuhan tetapi mengapa masih belum dikabulkan?'' ( Muttafaq álaih ).....BERDOA DAN BERSANGKA BAIKLAH...Wallahuálam.


No comments:

Post a Comment